
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal telahan anaknya, Nurul Izzah, bahawa Pakatan Harapan akan bergelut bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam dua pilihan raya umum akan datang sebelum mempunyai peluang kembali menawan Putrajaya.
Presiden PKR itu sebaliknya berkata kata-kata pesimis Nurul Izzah tersebut seharusnya menjadi pendorong buat blok pembangkang bekerja lebih keras bagi memastikan PH kembali menerajui kerajaan.
“Sebagai kolektif, sesiapa sahaja boleh bagi pendapat. Ini parti demokrasi. Keputusan dibuat secara kolektif. Nurul Izzah boleh cakap apa yang dia mahu,” katanya dalam satu wawancara bersama beberapa buah media tanah air baru-baru ini.
“Kita boleh mengambil apa yang dia katakan sebagai amaran bahawa parti harus berubah dan membina semula. Kegagalan akan bermakna kalah (semasa pilihan raya),” katanya lagi.
Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pendapat Nurul Izzah tersebut hanyalah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor sebelum ini.
“Pendapat beliau adalah berdasarkan pemerhatian pilihan raya Johor dan Melaka. Saya tidak bersetuju dengan ini,” katanya.
Dalam kedua-dua pilihan raya itu Barisan Nasional berjaya merekodkan majoriti besar, sekaligus merampas kembali Melaka dan Johor dari PH yang memenangi negeri tersebut dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Menurut Nurul Izzah, pengundi masih mempunyai tanggapan buruk terhadap PH ekoran dari kelemahan yang ditunjukkan sepanjang pemerintahan 22 bulan blok tersebut yang berakhir sususalan dari ‘Langkah Sheraton’.