Anwar sahut cabaran Najib

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut cabaran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat pada bila-bila masa berhubung isu bantuan bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau mengambil maklum cabaran Najib yang mahu beliau turut serta dalam debat setelah dicabar bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari Najib. Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata Najib kini memilih mencabar beliau pada awal Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan Rafizi mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan peniaga kecil yang tidak terbela.

Menjawab cabaran Najib, Anwar memetik pantun pendekar Melayu:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.

“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib,” katanya.

Semalam, Rafizi berkata beliau akan mengajak Anwar untuk turut serta berdebat setelah Najib mengenakan syarat ketua pembangkang itu perlu turut serta.

“@NajibRazak sebenarnya takut nak berdebat. Jadi dia cari alasan bagi syarat mintak heret @anwaribrahim sekali, sebab dia ingat Presiden PKR pun takut berdebat dengan dia.

“In Sha Allah saya sampaikan kepada @anwaribrahim dan kita sama-sama tengok alasan & syarat baru apa pula Najib nak bagi,” katanya dalam ciapan di Twitter susulan Najib meletak syarat terbaharu.

Rafizi dalam satu wawancara baru-baru ini mencabar Najib untuk berdebat susulan kontroversi isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Najib sebelum ini menggesa agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy, dengan mengatakan bahawa PNB akan kerugian RM4 bilion jika syarikat itu dibiarkan muflis.

Pada September 2018, PNB telah meningkatkan pegangannya dalam Sapura daripada 12.16 peratus kepada 40 peratus.

Rafizi kemudiannya mendakwa Najib mengutamakan golongan elit perniagaan dalam mencadangkan agar kerajaan menyelamatkan Sapura.

BERITA BERKAIT
POPULAR