
Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sangsi terhadap niat dan hasrat MUDA mahu menyertai Pakatan Harapan. - Gambar Twitter
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud sentimen yang kuat di dalam PKR yang menolak kemasukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai parti komponen gabungan itu.
Bukan itu sahaja, malah Presiden PKR itu sendiri menzahirkan rasa sangsi terhadap niat dan hasrat MUDA khususnya membabitkan pemimpinnya apabila mahu menyertai gabungan itu, lapor BH.
Sebelum ini, pemimpin dan akar umbi Anak Muda Keadilan (AMK) menyatakan penolakan mereka terhadap parti pimpinan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai PH sebagai parti komponen kelima, selepas PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Terbaharu, Pengarah Strategi AMK PKR Bryan Ng Yih Miin berkata terdapat pelbagai sebab anak muda enggan menerima MUDA sebagai sebahagian daripada gabungan terbesar pembangkang.
Ng mendakwa MUDA secara terbuka bercakap mengenai bertanding di Parlimen Petaling Jaya yang dimenangi oleh Maria Chin Abdullah daripada PKR pada PRU-14.
“Mesti ada perbincangan tertutup mengenai perkara seperti ini, bukan secara terbuka di Twitter. Tiada kematangan daripada mereka apabila melibatkan perkara seperti ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata permohonan MUDA untuk menganggotai PH tidak akan diketepikan, sebaliknya memerlukan waktu untuk mengkaji dan menelitinya.
“Kita harus berlapang dada. Sentimen (penolakan) dalam PKR tak mudah. Dia bagi contoh pemimpinnya, dulu mari kita lawan 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Kemudian bangkit sokong (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), tapi bila giliran saya tidak sokong saya.
“Tapi tidak semua jemaah MUDA. Orang boleh berubah, orang boleh taubat. Konklusinya, biarlah pimpinan (PH) teliti, bincang bawa dalam sidang, apa kebaikannya, apa kemungkinannya,” katanya menurut BH.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Sesi Townhall Pentas Interaksi Anak Muda di Pusat Alumni Universiti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
“Saya tidak fikir kalau orang ada hasrat yang baik dengan kita, kita bongkar kisah lama. Angkatan muda sekarang lebih positif. Kita harus beri ruang untuk bincang dengan semanagat membina satu kekuatan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.