Anwar pertahan ‘katak berprinsip’, bela bukan pengkhianat

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai ‘katak berprinsip’ dengan menyifatkan mereka berdua bukan ‘pengkhianat’.

Ketua Pembangkang itu berkata kedua-dua ADUN tersebut Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan itu hanya mahu mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) kerana pada awalnya memenangi pilihan raya lalu.

“Bila kita sebut istilah pengkhianat, khianat kepada siapa. Naratifnya seperti yang disebut oleh PH Melaka, Keadilan, DAP dan Amanah, empat (Adun) itu menarik sokongan untuk membolehkan parti yang mendapat mandat dalam pilihan raya lalu kembali berkuasa.

“Maknanya dia bukan khianat amanah kepada rakyat. Dia bincang bersama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Anwar semalam menamakan Idris dan Nor Azman masing-masing bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan Pantai Kundor.

Ketua Pembangkang itu turut mengumumkan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Susulan pengumuman tersebut, ramai pihak mengkritik keputusan Anwar yang masih berdegil untuk membawa masuk kedua-dua bekas ADUN itu bertanding atas tiket PH.

Malah, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyindir bekas bosnya itu selepas dan mempersoalkan langkah yang diambil PKR dan Amanah yang masing-masing akan meletak calon yang sebelum ini menjadi punca kejatuhan kerajaan Melaka.

“Kah3 katak berprinsip. Kalau kena kat muka kita #pengkhianat. Kalau konon untungkan kita ‘katak berprinsip’.

“Bahana jadi menteri 22 bulan prinsip semua jadi kabur,” katanya dalam ciapan di Twitter.

BERITA BERKAIT
POPULAR