Anwar perlu letak jawatan atau kami keluar PH, kata seorang ADUN DAP

Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang atau DAP perlu menimbang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) jika beliau enggan berundur, kata seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

ADUN Bilut (DAP), Lee Chin Chen menggesa supaya PH mencari pengganti baharu dan bukan bergantung semata-mata kepada Anwar yang dilihatnya gagal dalam memimpin blok pembangkang itu dengan baik selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu: Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Jika Anwar masih tidak mahu meletak jawatan, Chin Chen berkata sudah tiba masanya DAP keluar daripada gabungan tersebut dan mencari bentuk kerjasama dengan gabungan yang lain.

“Sekiranya tiada harapan untuk PH reset semula, kepimpinan DAP mesti mempertimbangkan untuk keluar daripada gabungan itu dan mencari kerjasama lain bagi memastikan negara mempunyai parti pembangkang yang setia mempertahankan kepelbagaian dan politik sekularisme.

“Sebelum ini, PH sudah lebih setahun taaasub dengan permainan angka. Jika kita gagal menghentikan ini selepas kekalahan pilihan raya Melaka dan mengkaji semula hala tuju kita, jika kita terus membanding-bandingkan diri kita secara membuta tuli dengan parti politik Melayu, kita akan hanya mengulangi kekalahan dalam pilihan raya Melaka,” katanya.

Ujarnya lagi, keputusan PRN Melaka adalah tamparan kepada PH.

PRN itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH hanya berjaya memenangi lima kerusi, manakala PKR tewas di semua kerusi ditandinginya.

Keputusan Anwar yang berdegil mahu meletak calon ‘katak berprinsip’ dalam PRN Melaka mendapat tentangan DAP namun beliau tidak menghiraukan dengan meneruskan juga rancangannya itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR