
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap calon Perdana Menteri bersama bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Kurang beberapa jam selepas penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memperlekehkan langkah diambil Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membentuk gabungan politik baharu untuk mengharungi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) depan.
Ketua Pembangkang itu sebenarnya sedar dengan penubuhan satu lagi gabungan politik, ia bakal menyekat cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) selepas gagal berkali-kali sebelum ini.
Anwar tidak menyokong penubuhan gabungan politik baharu yang dibentuk bekas PM dua kali itu dan mempersoalkan mengapa orang Melayu tidak dibantu semasa 22 bulan memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya sebelum ini.
“Saya tidak mendokong inisiatif seperti itu kerana kalau betul mahu bela Melayu, Islam, ada 22 bulan (ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri), dia patut sudah tolong.
“Melayu yang dipilih itu tidak mewakili sentimen Melayu. Jadi, saya fikir orang Melayu patut sedar masalah dalam negara ini adalah kepemimpinan, baik Melayu atau bukan Melayu, yang rasuah, yang mengkayakan anak-anak dan keluarga mereka.
“Kemudian bila terdesak akan merayu untuk dapat dokongan Melayu. Ini juga termasuk sesetengah parti Cina dan India, sama saja,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Anwar disoal berhubung penubuhan gagasan itu yang diumumkan Dr Mahathir pada satu sidang medianya di Putrajaya hari ini.
Menurutnya lagi, orang Melayu tidak boleh berharap kepada pemimpin sama lagi untuk membantu mereka dan perlu mencari pilihan lain.
“Kalau ada elemen yang sedar dalam kalangan Melayu, Melayu yang terhimpit, miskin dia tidak lagi boleh berharap kepada orang yang sama untuk minta pembelaan sewajarnya. Patut beri ruang kepada satu pendekatan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
GTA yang diumumkan Dr Mahathir hari ini bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, gagasan berkenaan akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.
Dr Mahathir berkata, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini.