Anwar membela perbualan mesra dengan Zahid bukan jenayah

Klip audio tular melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas beberapa hari tular klip audio dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membela perbualan mesra tersebut dengan menyifatkan ia bukan satu kesalahan jenayah yang perlu dijadikan isu.

Presiden PKR itu itu berkata perbualan dalam klip audio tidak perlu diperbesarkan walaupun pada awalnya beliau dan Zahid menafikan keras berhubung kewujudan perbualan tersebut, malah mahu membuat laporan polis bagi mencari dalang penyebaran.

“Tapi apa isunya? Isu dia nak alih daripada soal rasuah sekarang, (isu) penggantungan parlimen, dasar (yang bermasalah) dan nasib rakyat.

“Ini yang dia nak alih, (sebaliknya) audio jadi keutamaan. Kalau betul, apa masalah dia? Ada (berlaku) khianat di situ? Ada jenayah? Tak ada,” katanya dipetik semasa sesi dialog anjuaran Majlis Profesor Negara hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan kedua-dua pemimpin politik itu berbohong kononnya pegawai mereka sudah diarahkan membuat laporan polis bagaimanapun sehingga hari ini tiada laporan yang diterima pihak berkuasa itu.

Dalam pada itu, Anwar juga mengakui sudah membuat penjelasan tersebut yang juga dilakukan sama oleh Zahid.

“Saya sudah buat kenyataan, Zahid dah buat kenyataan… cukup,” katanya.

Anwar juga mengakui belum membuat laporan polis berhubung perkara tersebut walaupun dalam ceramahnya sebelum ini mengatakan sudah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis.

Baru-baru ini, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.

POPULAR