Anwar mahu Zahid suruh calon KM BN sahut cabaran berdebat

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menyuruh calon Ketua Menteri (KM) dari Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyahut cabaran berdebat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu yang dianggap sebagai cikgu kepada Zahid, mahu anak muridnya itu menasihati Sulaiman supaya berdebat dengan calon KM dari Pakatan Harapan (PH) Adly Zahari.

“Dalam debat itu, mereka sampaikanlah apa wawasan, misi dan matlamat mereka jika dapat membentuk kerajaan negeri.

“Sampaikan kepada rakyat dengan jelas dan jawab apa saja soalan yang dibangkitkan,” katanya dipetik dalam laporan media hari ini.

Difahamkan, Anwar sudah cuba menghubungi Zahid supaya menyuruh calon BN itu menyahut cabaran tersebut tetapi tidak mendapat respon yang positif.

Di Melaka semalam, Sulaiman ketika diminta mengulas cadangan itu, dilaporkan berkata, debat itu boleh diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai kerana waktu ini beliau mahu memberikan tumpuan kepada kerja kempen.

“Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah..Kita tumpukan dulu kerja yang ada ni,” katanya lagi.

Mengenai permintaan pembangkang untuk menggunakan saluran media utama, Anwar berkata, sudah seminggu kempen PRN Melaka berlalu namun kerajaan masih mennyatakan ia masih dalam pertimbangan.

Katanya, kerajaan memaklumkan kesediaan akan membuat pertimbangan untuk memberi ruang kepada calon PRN dari pembangkang menyampaikan mesej mereka melalui media utama.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga membangkitkan soal liputan media arus perdana yang hanya menumpukan kepada calon BN dan PH dalam PRN Melaka kali ini.

Muhyiddin juga mempertikai mengapa layanan tidak saksama yang diberikan kepada parti lain yang bertanding.

Untuk rekod, Anwar dan Zahid merupakan kawan rapat yang dianggap sebagai guru dan cikgu selepas tular klip audio pakatan sulit dengan kedua-dua mereka sebelum ini pada April lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR