Anwar mahu kekal jawatan Ketua Pembangkang walaupun berdepan defisit kepercayaan

Jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan dilepaskan Presiden PKR itu walaupun sokongan dikalangan Ahli Parlimen pembangkang terhadapnya sudah semakin meleset.

Anwar berdepan defisit kepercayaan apabila dilihat gagal menyatukan parti pembangkang dibawah satu payung besar, malah gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya sudah menampakkan perpecahan apabila tidak ada persefahaman berhubung penggunaan lambang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, DAP dan Parti Amanah sudah menyedari realiti dan hakikat mereka tidak boleh lagi bergantung kepada Anwar yang dilihat sebagai liabiliti besar apabila rakyat tidak lagi menyokongnya dan pengaruhnya sudah semakin terhakis.

Satu persatu tindakan dan langkah dirancang oleh Anwar gagal dan lebih malang lagi blok pembangkang terbesar itu semakin lemah dan hilang kepercayaan rakyat.

Defisit kepercayaan terhadap Anwar semakin melebar susulan pendedahan dan rancangan Anwar bersama anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Anwar memainkan sentimen pengkhianat terhadap musuhnya yang berada dalam parti Bersatu, bagaimanapun khianat yang lebih besar Anwar lakukan adalah dengan bersekongkol dengan kumpulan Kluster Mahkamah dalam UMNO sendiri.

Ia amat memalukan apabila seorang yang dianggap kononnya melawan rasuah kini sudah boleh duduk sekatil dan sebantal dengan kumpulan perasuah, malah rakyat sudah dapat menghidu tembelang dan sikap sebenar Anwar.

Jadi, tidak hairanlah PKR dimalukan dalam dua PRN sebelum ini di Melaka dan Sarawak, senario sama juga akan berulang di Johor. Ia tidak memerlukan teori atau kajian sains yang mendalam untuk melihat kekalahan PKR kerana sudah terbukti pertembungan banyak penjuru akan memberi kelebihan kepada UMNO.

Bagi DAP dan Amanah, mereka cuba untuk menjelaskan dan menerangkan kepada Anwar berhubung situasi dan strateginya yang masih berdegil untuk mewujudkan pertembungan banyak penjuru di Johor, namun Pengerusi PH tersebut terlalu degil dan angkuh mahu semua pihak mengikut telunjuknya.

Terdapat usaha beberapa pemimpin atasan DAP dan Amanah yang cuba memujuk Anwar untuk tidak mengambil langkah bodoh dengan masuk bertanding di kerusi yang tidak sepatutnya dan gesaan supaya pintu rundingan dibuka dengan parti yang lain bagi mengelakkan UMNO kembali berkuasa juga tidak dihiraukannya.

Pemimpin DAP dan Amanah seakan sudah menghidu sesuatu yang pelik sedang dirancang oleh Anwar, malah terdapat khabar angin yang kuat bertiup mengatakan masih wujud rundingan dengan Zahid pada PRN Johor kali ini.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah tidak memiliki bukti yang jelas berhubung penglibatan Anwar dengan UMNO di Johor cuma tindakan PKR untuk menggunakan lambang sendiri menimbulkan rasa ragu-ragu dikalangan pemimpin pembangkang parti lain.

Berbanding sebelum ini, Anwar dilihat cuba membawa PKR bergerak solo pada PRN Johor tanpa mahu bergantung kepada rakan parti pembangkang lain, malah terlalu yakin partinya akan mengecapi kemenangan besar nanti.

Seakan besar kepala dan angkuh, Anwar bersama jentera PKR bergerak seantero Johor bagi memberi ceramah politiknya, namun yang menariknya Anwar tidak mengkritik UMNO secara langsung dalam ceramah-ceramah diberikannya kepada para pengundi di Johor.

Berdasarkan maklumat di lapangan, Anwar menyentuh isu rasuah dan salah guna kuasa tetapi nama UMNO yang sebelum ini sentiasa meniti dibibirnya tidak lagi kedengaran dalam ceramah diberikannya.

Untuk rekod, Anwar kini bukan lagi Ketua Pembangkang yang memiliki majoriti di Dewan Rakyat dan sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan mengundur diri.

Hanya beberapa kerat pemimpin DAP dan Amanah yang mengenangkan beliau sebagai kawan karib mereka yang masih setia bersamanya, tetapi tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang yang berada di blok Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menyokongnya.

Parti Pejuang dan Warisan yang sememangnya diketahui kesetiaan kepada Dr Mahathir menolak Anwar sebagai Ketua mereka, malah tidak mengiiktiraf semua langkah yang dibuat Anwar.

Antara langkah yang tidak diterima mereka adalah berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun Anwar masih berdegil dan meneruskan juga usahasama tersebut.

Hasilnya, pembangkang kini semakin hilang pengaruh dan hilang kepercayaan rakyat. Keputusan dua PRN di Melaka dan Sarawak adalah manifestasi bantahan terhadap PH, khususnya Anwar.

Bagaimanapun, Anwar masih tidak segan silu berceramah dan memegang jawatan Ketua Pembangkang yang tidak mendapat mandat majoriti daripada Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Cumanya, ketika ini tidak ada yang berani bersuara dan secara terbuka mencabar Anwar meletak jawatan kerana takut dengan sikap bengis dan cepat melenting beliau.

Malah, mustahil untuk Anwar berundur pada ketika pelbagai keistimewaan yang diberikan kepadanya hasil daripada MoU yang ditandatangani Ismail Sabri.

Bayangkan jika Anwar menjadi Perdana Menteri dan rakyat mendesaknya untuk meletak jawatan, pasti lagi sukar untuk beliau meletak jawatan.

Berbeza dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini rela melepaskan jawatan disebabkan komplot jahat Anwar dengan Zahid, ia secara tidak langsung mencerminkan sifat sebenar seorang pemimpin yang tidak gilakan kuasa berbeza sama sekali dengan Anwar.

Namun, Anwar tetap adalah Anwar, tidak akan dapat menerima hakikat dirinya bukan pilihan rakyat untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Malah, Anwar juga perlu sedar diri kemenangan PH sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu bukan kerana disebabkan dirinya yang turun berkempen bersusah payah ke setiap pelosok negara, tetapi ia adalah hasil gerakan dan persefahaman sesama parti pembangkang yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar ketika itu hanyalah banduan yang berada disebalik tirai besi sebelum dibebaskan oleh Dr Mahathir yang meminta pengampunannya.

BERITA BERKAIT
POPULAR