
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semangat perjuangan ‘reformasi’ yang selama ini diperjuangkan dan dilaungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini dikhianati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata sejak mula lagi selepas dilantik menjadi Perdana Menteri (PM), Anwar sudah mengkhianati rakyat apabila melantik anak muridnya yang berdepan kes rasuah di mahkamah sebagai timbalannya demi untuk membalas budi sokongan yang diberikan.
“Kerajaan PH (Pakatan Harapan)-BN (Barisan Nasional) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi. Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas ‘budi’ Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan ‘you scratch my back, I scratch your back’,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.
Tidak cukup dengan pengkhianatan tersebut, Muhyiddin berkata Presiden PKR itu mengulangi lagi apabila dengan melantik anaknya pula, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat dalam kementerian.
“Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.
“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” ujarnya lagi.
Muhyiddin berkata tidak terlambat lagi untuk Anwar memperbetulkan kesilapannya dan boleh meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan, sebaliknya menumpukan kepada tugas sebagai PM.
“Sebagai pemimpin parti pembangkang saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.
“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar,” katanya lagi.
Muhyiddin juga membangkitkan berhubung isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermula di era PM, Datuk Seri Najib Razak dan ketika itu juga memegang jawatan sebagai seorang Menteri Kewangan.
“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” katanya lagi.
Selain itu, Muhyiddin juga menggesa supaya Anwar merehatkan Zahid daripada jawatan TPM selagi kes mahkamahnya tidak selesai.
“Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai.
“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” katanya.
Berhubung isu lantikan Izzah pula, Muhyiddin menasihati supaya anak perempuannya itu juga melepaskan jawatan bagi mengelakkan pelbagai persepsi tidak baik daripada orang ramai.
“Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.
“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah.
“Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa,” katanya.