Anwar gagal pujuk Zahid jangan segerakan PRU-15, hantar dua wakil PKR jumpa

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya gagal memujuk anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila isyarat semakin jelas ditunjukkan akar umbi UMNO yang mahu ia diadakan lebih awal.

Ketua Pembangkang itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menghantar dua budak suruhannya yang juga pemimpin kanan PKR supaya berunding dengan Presiden UMNO itu supaya tidak tergesa-gesa mendesak PRU-15 diadakan kerana bimbang blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bakal kalah teruk.

Anwar berharap rundingan tersebut berjaya, bagaimanapun kelihatannya Zahid tidak memberi komitmen untuk mengikut telunjuk cikgunya itu lagi selepas melihat UMNO semakin kuat dan memiliki kemampuan untuk menang besar.

Sumber Agenda Daily boleh mengesahkan pertemuan dua pemimpin kanan PKR dengan Zahid selepas PRN Melaka, ia secara tidak langsung Anwar kini meminta nyawa daripada Zahid supaya tidak terburu-buru.

Dalam pada itu, sumber juga mengesahkan Anwar masih cuba memujuk Zahid supaya menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri (PM), malah masih mengharapkan Zahid akan memberinya sokongan walaupun sebelum ini sudah ditipu sekali.

“Anwar nampaknya tidak serik selepas ditipu apabila Zahid tidak memberinya sokongan untuk menjadi PM sebelum ini, sebaliknya memilih Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Bukan sahaja tidak serik, Anwar menghantar dua lagi delegasi yang juga budak suruhannya supaya berunding dengan Zahid lagi,” kata sumber.

Nampaknya Anwar kini sudah ditinggalkan Zahid yang tidak lagi diperlukan selepas melihat UMNO semakin kuat dan mampu bergerak secara solo tanpa kerjasama dengan mana-mana parti lagi untuk berdepan PRU-15.

Keputusan PRN Melaka menambah keyakinan Zahid untuk mengemudi UMNO secara solo walaupun tanpa kerjasama dengan PAS dan Bersatu sekalipun, malah mensasarkan kemenangan majoriti dua pertiga dan sekaligus memastikan UMNO kembali dominan.

Jelas sumber, gerakan Anwar menyusun untuk berunding dengan Zahid dilakukan luar pengetahuan dua rakan parti PH, Amanah dan DAP kerana bimbang terbocor rahsia rundingan rahsianya dengan UMNO akan menyebabkan kemarahan dikalangan pemimpin pembangkang.

Sekiranya Amanah dan DAP mendapat tahu Anwar masih berunding dengan UMNO, berkemungkinan besar beliau akan ditendang sebagai Ketua Pembangkang. Malah, Anwar juga dipersalahkan sebagai punca kekalahan PRN Melaka kerana tindakannya mempertahankan ‘katak berprinsip’.

Pemimpin Amanah dan DAP mungkin terlalu mempercayai Anwar, laporan Agenda Daily ini mungkin dianggap sebagai fitnah tetapi tidak ada salahnya jika mereka sendiri bertanya kepada Anwar berhubung kebenaran laporan ini.

Jika masih berlagak sombong dan mempercayai kata-kata manis Anwar, maka tidak kemana lah PH selepas ini dalam PRU-15.

Anwar seakan tidak lagi mempercayai kekuatan PH sendiri untuk memenangi PRU-15 dan sanggup untuk bekerjasama dengan UMNO, masih tidak serik dengan penipuan yang berlaku sebelum ini apabila tidak dipilih menjadi PM Kesembilan.

“Selepas keputusan PRN Melaka, Anwar sudah nampak dengan jelas PH tidak ada peluang cerah untuk memenangi PRU-15 dan seboleh mungkin mencari jalan untuk menghidupkan peluang menjadi PM, jadi tidak menghairankan apabila sanggup memilih untuk kembali ke pangkuan anak muridnya.

“Anwar terlalu bodoh apabila membiarkan dirinya dipermainkan oleh anak muridnya,” kata sumber lagi.

Semalam, Agenda Daily melaporkan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian berlangsung selama dua hari bermula hari ini dijangka akan memberi fokus berhubung usul untuk menyegerakan PRU bagi memberi tekanan terhadap PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat peringkat sayap amat penting memandangkan ia suara akar umbi parti itu yang kemudiaannya akan dibawa ke peringkat mesyuarat bahagian-bahagian UMNO, difahamkan usul berhubung persediaan PRU antara perkara utama yang akan dibincangkan.

Selepas selesai mesyuarat peringkat sayap, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan pada 18 Dis ini dengan disusuli Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 13 Januari tahun depan.

Isu berhubung menyegerakan PRU mula dibangkitkan selepas kejayaan PRN Melaka lalu, malah pemimpin kanan UMNO selepas PRN Melaka juga sudah bersuara agar PRU diadakan dengan segera bagi mengekalkan momentum kemenangan mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR