Anwar dakwa tak jadi PM kerana enggan campur kes mahkamah, klip audio Zahid?

Akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mendedahkan punca utama gagal menjadi Perdana Menteri (PM) semasa krisis politik sebelum ini disebabkan pendiriannya yang tidak mahu campur tangan kes mahkamah.

Pengakuan Ketua Pembangkang tersebut agak pelik memandangkan sebelum ini didedahkan satu klip audio tular antara Presiden PKR itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Anwar nampaknya seakan tidak mahu mengakui sebenarnya ditipu hidup-hidup anak muridnya tersebut yang berpaling tadah dengan menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM.

Alasan terbaharu Anwar ini dilihat bagi menunjukkan dirinya yang telus dan berintegriti, walhal hakikatnya sebelum ini sanggup berkomplot dengan ‘Kluster Mahkamah’ dalam UMNO untuk menjatuhkan kerajaan.

Anwar berkata, “Paling tegas saya lakukan adalah tidak bersedia untuk campur tangan urusan badan kehakiman yang semestinya bebas dan berwibawa.

“Kerana kita juga ada pengalaman dengan badan kehakiman ini. Syarat-syarat kalau disenangi pendirian saya, ok.

“Kalau nampak tidak boleh terima, tidak sokong, itu masalah mereka.

“Pokoknya begini, kerana syarat itulah saya gagal menjadi perdana menteri, tapi saya tidak boleh khianat amanah rakyat,” katanya dipetik dalam wawancara bersama beberapa media yang cenderung menyokongnya.

Anwar diwawancara bersama Malaysiakini, The Vibes dan Sinar Harian di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Pada 23 September 2020, negara digemparkan dengan dakwaan Anwar bahawa beliau sudah mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sekali gus membolehkannya mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan PN.

Walau bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan jumlah sebenar Ahli Parlimen (MP) yang menyokongnya serta mendedahkan identiti mereka.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa mempunyai dokumen bagi membuktikan sokongan yang diterimanya adalah mencukupi.

Kerajaan PN terus bertahan sehingga 21 Ogos 2021 namun Anwar masih lagi tidak menjadi Perdana Menteri selepas itu.

Seperti yang diketahui umum, ramai pemimpin UMNO dikategorikan sebagai ‘Kluster Mahkamah’ namun tidak pasti sama ada mereka termasuk dalam senarai MP yang menyokong Anwar.

Kluster Mahkamah UMNO turut didakwa sebagai dalang yang memainkan peranan untuk menumbangkan kerajaan PN ketika negara masih bergelut dengan krisis pandemik Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR