
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Populariti Rafizi Ramli yang semakin menonjol sejak ditabal sebagai Timbalan Presiden PKR baharu nyata membimbangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu yang masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri (PM) memberi teguran kepada Rafizi supaya menggunakan saluran parti dalam membuat kritikan dan menasihatinya supaya menghormati setiap keputusan parti tersebut.
“Sekarang ini dia (Rafizi) seolah-olah di pinggiran dan (seolah-olah) dia tidak berada dalam kepemimpinan utama. Jadi (sepatutnya) apabila ada keputusan bersama, dia mesti pertahankan.
“Jadi saya fikir sentimen disuarakannya bertentangan dengan yang kita dengar dari keseluruhannya (perwakilan), di mana mereka mahu lihat parti bersatu, kuat dan fokus menyerang musuh. Itu sentimen dalam kongres,” katanya dipetik laporan BH.
Wartawan bertanya kepada Anwar semasa sidang media sempena Kongres Nasional PKR hari ini berhubung beberapa kenyataan berhubung isu populariti beliau yang merosot, selain berkaitan gagasan khemah besar.
Rafizi paling lantang menentang konsep Khemah Besar, malah hari ini mengkritik supaya tidak terlalu membodek Anwar.
Dalam pada itu, Anwar mengakui kekuatan Rafizi tetapi mengingatkannya bahawa beliau juga mengetahui kelemahan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Saya tahu potensi dia, saya pun tahu kekuatan dia. Seperti mana dia tahu saya, saya pun tahu kelemahan dia.
“Di antara lain, ini adalah untuk meredakan suhu dan memastikan kesinggungan itu (diluahkan) di tempatnya.
“Saya percaya perkara ini berlalu sebaik dia secara rasmi mengambil alih (tugasnya sebagai Timbalan Presiden PKR),” katanya.
Rafizi hari ini mengeluarkan kenyataan pedas dengan menggesa supaya berhenti menjadi “penggilap epal” kepada Anwar.
“Apa yang penting kepada parti dan kepimpinan baharu ialah jangan cuba ‘bodek’ (menggilap epal) Anwar atau cuba mempertahankannya.
“Anwar adalah Anwar Ibrahim dan dia tidak perlu dibela.
“Apa yang perlu dilakukan ialah merayu kepada rakyat dan cuba untuk menang,” kata Rafizi ketika ditemui pemberita di Shah Alam hari ini.