Anwar beri bayangan PKR tentukan kerusi bakal diberi kepada MUDA

PKR akan menentukan jumlah kerusi yang akan diberikan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata akan memberi ruang dan memilih kerusi yang akan diberikan kepada MUDA untuk bertanding, namun setakat ini parti yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu masih menyatakan jumlah kerusi yang diminta mereka.

Anwar berkata rundingan kerjasama dengan MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini dibuat di peringkat kepemimpinan negeri.

“Rundingan kerjasama PH dan Muda setakat ini di peringkat negeri, kita sedang berbincang dan bersedia memberi ruang (kerusi) kepada mereka dan kerusi mana. Ini masih perbincangan dalam PH, soal agihan kerusi (sekiranya PH bekerjasama dengan Muda) akan dibuat secara bersama, iaitu sebahagian kerusi Amanah (Parti Amanah Negara) dan sebahagian kerusi DAP juga.

“Kita akan tengok berapa mereka minta dan perkara ini masih dalam perbincangan, mereka tidak umum, kami pun tidak umumkan,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Anwar terdahulu merasmikan Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Johor.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan memberitahu perbincangan kerjasama antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH) sedang berjalan lancar namun perincian akan diumumkan kemudian.

Terdahulu, Pengerusi MUDA Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dilaporkan memberitahu, pihaknya mahu lebih daripada 10 kerusi jika jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dicapai menjelang PRN Johor akan datang.

Mengenai nama calon, Anwar berkata PKR akan mengumumkan semua calonnya yang akan bertanding di 20 kerusi secara berperingkat.

“Nama-nama calon bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sedang dipertimbangkan di peringkat PKR negeri dan mungkin akan umum sebahagian kerusi terlebih dahulu,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR