
Dua rakan karib Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak - akan mengawasi jentera parti masing-masing menghadapi PRN Melaka, November ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengakui menerima surat akuan bersumpah (SD) daripada Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi Perdana Menteri (PM) sebelum ini, sekaligus mengesahkan pendedahan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Baru-baru ini, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mengakui ada menandatangani SD menyokong Anwar semasa krisis politik tahun lalu selepas diarah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut menamakan Najib turut melakukan perkara sama.
Anwar mengakui kewujudan SD tersebut bagaimanapun terdapat syarat sokongan yang dibuat Najib supaya kes mahkamah mensabitkan bekas PM itu “tidak diteruskan”.
“Apa berlaku selepas itu adalah selepas ditandatangani saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib itu tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku perdana menteri untuk memastikan ini tidak diteruskan.
“Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya,” katanya dipetik laporan FMT semasa satu majlis di Port Dickson.
Selain itu, Ketua Pembangkang itu turut mengakui Najib dan Zahid antara 15 pemimpin Umno yang membuat SD menyokong beliau sebagai PM.
Katanya, walaupun jumlah sokongan ahli Parlimen ketika itu cukup 120 dan membolehkan beliau menjadi perdana menteri, namun Pakatan Harapan (PH) menetapkan untuk menolak SD daripada Najib dan Zahid.
“PH pada ketika itu menyatakan walaupun jumlah sehingga 120, prinsip kita tak menerima SD daripada Najib dan Zahid tapi dia ada hak untuk tandatangan menyokong sesiapa.
“Jadi kita masih ada 118. Jadi walaupun jumlah cukup dan laluan untuk saya menjadi PM sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal kebebasan badan kehakiman,” katanya lagi.
Terdahulu, Tajuddin semasa sidang media pada Isnin berkata walaupun, pemimpin UMNO melaung-laungkan “No DAP, No Anwar” sebaliknya mereka menandatangani SD menyokong Anwar menjadi PM tahun lalu.
Tajuddin juga mengakui beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani SD kerjasama Zahid dan Anwar.
Tajuddin itu berkata terpaksa akur pada arahan dan menandatangani SD itu selepas bermasam muka dengan Zahid kerana tidak menyokong Anwar.