Anwar ada satu peluang lagi – PRU15 – patut berundur jika PH, PKR kalah

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempunyai satu peluang sahaja lagi bagi membuktikan dirinya masih relevan sekali gus menolak dakwaan beliau sudah tidak lagi popular.

Pendapat itu disuarakan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan ketika mengulas ketiadaan pemimpin yang berani mencabar Anwar pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada Mei depan.

Semalam Agenda Daily melaporkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu masih mempunyai aura di dalam partinya apabila kekal mempertahankan kerusi Presiden PKR sesi 2022-2025, setelah tiada pemimpin lain yang berani menentangnya dalam pemilihan kali ini.

Tatkala menerima kritikan setelah gagal membawa kemenangan kepada gabungan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Anwar diumumkan menang tanpa bertanding oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada saudara @anwaribrahim,” kata Saifuddin semalam.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir 11 April, membabitkan jawatan pada peringkat cabang di seluruh negara, manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung 11 April.

Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu. Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Sementara itu, Azmi ketika mengulas lanjut seperti dilapor FMT berkata dengan kemenangannya, Anwar sebagai presiden perlu memberi persepsi kepada rakan parti dalam PH dan pembangkang lain bahawa beliau mampu membawa pembangkang kembali diyakini dalam PRU.

“Jika gagal, Anwar perlu berundur dan menyerahkan jawatan presiden kepada timbalannya memandangkan rekod kekalahan PKR dan PH dalam PRN dan PRK membuktikan beliau gagal menyakinkan rakyat dan peluang kedua ini perlu diguna sebaiknya.

“Penting untuk Anwar memberi persepsi kepada parti diluar PKR terutamanya gabungan PH, Amanah, DAP, Upko dan pembangkang lain seperti Warisan, Pejuang dan Muda, jikalau Anwar ingin membawa PH dan PKR ke depan,” katanya.

Azmi berkata kemenangan Anwar tanpa bertanding juga bukan kerana ketandusan kepimpinan dalam PKR tetapi lebih kepada Anwar dan perjuangan PKR itu yang sinonim.

“Dalam PKR ada beberapa nama layak menggantikan Anwar antaranya Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail berdasarkan prestasi dua pemimpin itu dalam parti sebelum ini,” katanya.

Rafizi dan Saifuddin akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden yang kosong.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Ahmad Atory Hussain juga dilaporkan berpandangan walaupun PKR mempunyai pemimpin layak diangkat sebagai presiden ia sukar menyamai karisma Anwar.

“Kalau pun ada, tapi malangnya beberapa tokoh telah pun keluar dari PKR seperti Azmin Ali dianggap pengganti Anwar yang paling layak, buat masa ini masih belum lagi ada, cuma pemimpin-pemimpin muda seperti Rafizi Ramli difikirkan layak sebagai pengganti tapi untuk akan datang, bukan sekarang,” katanya.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah pula berpendapat adalah sukar menggantikan posisi dipegang Anwar kerana PKR terhutang budi dengan ‘bapa reformasi’ itu disebabkan beliau membawa parti itu ke pentas arus perdana sehingga berjaya membentuk Pakatan Rakyat dan kemudian PH.

“Apa yang menarik PKR kini berhadapan dengan kepimpinan yang lebih progresif dan bertenaga dalam membawa sokongan anak muda bawah 25 tahun.

“Berkemungkinan MUDA akan mengambil alih PKR satu masa nanti jika PKR gagal membawa satu gagasan baharu yang mampu menarik anak muda yang ingin corak politik yang lebih ideal dan sesuai dengan citarasa mereka.

“Aura Anwar ibarat awan mendung yang sudah berlalu, Anwar sepatutnya sedar bahawa calon yang paling sesuai untuk mengambil tampuk kepimpinan PKR adalah anaknya, Nurul Izzah yang lebih akrab dengan idea dan impian anak muda,” kata Dr Iskandar.

BERITA BERKAIT
POPULAR