
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed menegur Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa kerana memutar belit jawapan berhubung dokumen perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri.
Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa perlu bercakap dengan jelas dan tidak memutar belit sama ada wujud perjanjian antara Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bersatu berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menegur bekas Setiausaga Agung Barisan Nasional itu kerana tidak berterus terang terhadap jawapan yang dikehendaki oleh akar umbi parti.
“Kelmarin saya baca kenyataan media bekas Annuar yang minta saya tak payah campur tangan urusan perjanjian TPM antara Bersatu-PM.
“Dia cakap sebagai pemimpin bawahan saya tak layak untuk ambil tahu urusan besar seperti itu. Dia cakap bila saya nak tahu betul ke wujud perjanjian politik itu, saya hanya menyebabkan keadaan jadi kelam kabut.
“Bagi saya, Annuar tidak perlu memberi jawapan kepada media jika dia tidak mahu. Dia hanya boleh berkata ‘no comment’. Itu lebih selamat daripada memutar belit jawapan yang sebenarnya tidak menjawab soalan,” kata Nur Jazlan dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau menjawab nasihat Annuar supaya tidak mencampuri urusan antara Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, dan Bersatu berhubung perjanjian bagi pelantikan TPM dan menteri mentor.
Bekas ahli Parlimen Pulai itu berkata beliau meminta Annuar mengesahkan mengenai perjanjian itu disebabkan nama beliau (Annuar) turut disebut oleh pemimpin daripada Bersatu.
“Sebab Annuar sendiri sebut PM ke-10 adalah wakil dari UMNO dan pastinya apa yang dilakukan turut membawa nama UMNO jugalah. Jadi orang bawah-bawah ni kena tahu dan nak dapatkan pengesahan betul ke PM kita janjikan jawatan TPM kepada orang Bersatu.
“Selama ini orang UMNO bawah-bawah ni tak tahu apa pun pasal perjanjian itu. Tak pernah pun diberitahu oleh orang-orang atas dalam UMNO termasuk Naib Presiden sendiri.
“Soalan saya pun mudah saja. Annuar kena sahkan betul ke PM ada janji macam tu kepada Muhyiddin dan Bersatu. Annuar cuma perlu jawab Ya atau Tidak saja. Tak perlu jawab panjang berjela.
“Tapi bila kena jolok dengan orang media, Annuar jawab berbelit-belit dan jawapannya melencong jauh ke laut. Saya pula disalahkannya,” kata Nur Jazlan lagi.
Menurut dokumen yang tular di media sosial, gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu berikrar menyokong Ismail Sabri menjadi PM sebagai balasan melantik ahli partinya sebagai TPM dan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri mentor.
Bagaimanapun, kesahihan dokumen yang mengandungi tandatangan Ismail Sabri, Muhyiddin, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Annuar, masih belum dapat disahkan.
Namun Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan TPM sepertimana yang dimaklumkan oleh Muhyiddin.
Takiyuddin berkata pembabitan beliau dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan atas kapasiti parti.
Sehingga kini, Ismail Sabri juga terus membisu dalam isu tersebut.