
Tan Sri Annuar Musa.
Veteran UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui tidak bangun semasa ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta hadirin semasa Konvensyen Tahunan Ke-48 Barisan Nasional (BN) bangun untuk menyokong pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
Bekas Setiausaha Agung BN yang dipecat Zahid itu berkata semasa majlis tersebut, terdapat hadirin yang teragak-agak selepas diminta untuk bangun bagi menyokong cadangan tersebut dan menjelaskan pendiriannya tidak berdiri bukan bermakna tidak bersetuju agar PRU-15 disegerakan.
“Tadi (semalam) Pengerusi BN bertanya pada khalayak, bila mereka mahu PRU diadakan. Kemudian disuruh berdiri. Saya perhatikan ramai terpinga pinga, ramai juga yang spontan berdiri. Ada yang tunggu nak tengok kawan berdiri atau tidak. Ada yang berdiri tapi memberitahu pendirian yang berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu.
“Saya setuju PRU disegerakan sebaik saja BN benar-benar sudah siap siaga. Tapi saya tidak pun berdiri. Saya tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain berdiri, atau kerana segan, tak tergamak, kerana disuruh berdiri dan sebagainya,” kata beliau dalam satu hantaran di akaun Facebooknya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata tarikh PRU-15 tidak boleh dibincang secara terbuka sebaliknya ia perlu dibuat secara tertutup kerana ia hanya akan mendedahkan strategi parti kepada musuh yang lain.
“Saya berpegang pada prinsip, tarikh pilihanraya adalah senjata parti yang sedang memerintah.
“Ia perlu dibincang tertutup. Sementara itu kita perlu jujur. Kalau sudah “ready” kata ready.
“Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus, jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah “ready”, itu menolak ikhtiar namanya,” katanya lagi.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri perlu diberi ruang sebaiknya sebelum membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen dan bukan dalam keadaan tergopoh-gapah.
“Saya percaya PM akan memberi semula mandat pada rakyat, bukan dalam tergopoh gapah, atau di saat suasana yg berterabur, sebaliknya ketika rakyat bersedia dan yakin untuk memberi mandat semula kepada yang berkuasa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya semalam mengulangi gesaan supaya Ismail Sabri melihat bagaimana pemimpin BN mahukan PRU-15 diadakan segera tahun ini juga.
“Saya nak tanya dengan para perwakilan… siapa mahu pilihan raya tahun hadapan. Siapa mahu pilihan raya tahun ini?
“Siapa mahu pilihan raya dalam waktu terdekat.
“Kalau kita mahu pilihan raya pada tahun ini dan waktu terdekat… saya nak lihat berapa yang bangun dan menyokong saranan ini,” katanya yang kemudian disambut tindakan berdiri oleh peserta konvensyen yang hadir.
Kenyataan itu menyusul tatkala Perdana Menteri dalam wawancara dengan akhbar Jepun, Nikkei Asia yang diterbitkan baru-baru ini yang memberi isyarat tidak akan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 lebih awal.
Ismail Sabri berkata kenaikan kos dalam perbelanjaan makanan dan sara hidup lain adalah antara sebab untuk menolak PRU diadakan lebih awal.
PRU sepatutnya perlu dipanggil menjelang September tahun depan.
“Kita perlu menunggu masa yang sesuai (untuk mengadakan PRU). Kita sedang menghadapi tempoh inflasi yang meningkat dengan harga yang tinggi… adakah anda rasa ini masa yang sesuai?,” katanya kepada akhbar kewangan Jepun, yang terbesar di dunia dengan edaran harian melebihi tiga juta.
Semasa majlis sama, Ismail Sabri yang berucap pada konvensyen turut memberi bayangan PRU-15 akan dilaksanakan pada bila-bila masa.