
Tan Sri Annuar Musa mendedahkan siapa bercakap lidah bercabang dalam UMNO.
Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan nasib buruk bakal menimpa Barisan Nasional (BN) menjelang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diumumkan pada masa terdekat.
Bekas penyandang kerusi Parlimen Ketereh yang tidak dicalonkan semula itu berkata akhirnya igauan buruk yang selama ini dibayangkan menjadi kenyataan, ia susulan beberapa keputusan tidak rasmi yang tidak memihak kepada gabungan tersebut.
“Akhirnya igauan buruk yg saya gambarkan selama ini dan minta di elakkan benar benar terjadi.
“Dukacita teramat sangat. Al-Quran itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Annuar antara pelopor Muafakat Nasional (MN), namun sering dikecam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak setia keadaan parti walaupun hanya cuba menegakkan kebenaran.
“Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah,” katanya lagi.
Menjelang keputusan penuh PRU-15 malam ini, Annuar mempersoalkan apakah hala tuju UMNO selepas ini sekiranya keputusan tidak menyebelahi mereka malam ini.
“Kini, kemana kita nak dibawa?, mahu menjalin jajaran yang kita tolak? mahu melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan parti sekali lagi?
“Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya lagi.