
Annuar dilihat sering berbeza pendapat dengan pucuk pimpinannya dalam beberapa perkara termasuk mengadakan pilihan raya umum pada musim tengkujuh.
Selepas tidak dicalonkan semula di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Tan Sri Annuar Musa difahamkan dipecat UMNO selepas Majlis Tertinggi (MT) parti membuat keputusan semalam.
Annuar yang juga Ketua Bahagian Ketereh dipecat bersama dua lagi Ketua Wanita Bahagian kerana didakwa melanggar disiplin parti semasa tempoh berkempen PRU-15 lalu, menurut sumber parti.
Mesyuarat MT UMNO semalam dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu juga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Harapan dan DAP bagi membentuk kerajaan pusat baru-baru ini.
Ironinya, Zahid yang berdepan pendakwaan di mahkamah dan melanggar ketetapan parti dengan menjalinkan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP tidak dikenakan sebarang tindakan pula.
Dalam pada itu, seorang ahli MT UMNO semalam, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan berhubung keputusan pemecatan yang dibuat dalam mesyuarat semalam.
“Tiga orang (yang dipecat). Dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan),” katanya dipetik laporan media.
Sebelum ini, dua Ketua Bahagian UMNO turut tergugur keahlian selepas bertanding menggunakan tiket parti lain dalam PRU-15.
Mereka adalah Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).