Annuar cadangkan Ismail Sabri Pengerusi BN ganti Zahid

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut mencadangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengetuai jentera pilihan raya BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Cadangan beliau menyusul keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam yang mencadangkan Ismail Sabri dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM) bagi menghadapi PRU-15.

Dalam satu kenyataan hari ini, Annuar berkata pelantikan itu akan membolehkan Ismail Sabri menumpukan perhatian dan mengembalikan semula kekuatan UMNO serta memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya berpandangan sudah tiba masanya perdana menteri turut diberi amanah sebagai pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN.

“Sebagai calon PM, Ismail perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa ‘order baru’ politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO dan MT yang telah membuat keputusan menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM.

“Saya percaya keputusan ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh ahli dan penyokong perjuangan Umno, tetapi juga oleh parti-parti komponen dan rakan sekutu BN,” katanya lagi.

Semalam Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan mesyuarat MT sebulat suara bersetuju mencadangkan Ismail Sabri dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM) bagi menghadapi PRU-15.

BERITA BERKAIT
POPULAR