
Tan Sri Annuar Musa.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar untuk mengadakan pemilihan parti itu secepat mungkin sebelum tergesa-gesa mendesak pilihan raya umum diadakan, kata Tan Sri Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata lebih baik Zahid juga mendapat mandat daripada akar umbi UMNO terlebih dahulu sebelum mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dengan mengatakan ia tidak mendapat mandat rakyat.
“Katakanlah sekarang (Ahmad) Zahid (Hamidi) mengemukakan satu gagasan untuk bertanding solo, untuk tidak bekerjasama dengan si anu, si anu, si anu.
“Cara terbaik bukan sahaja perwakilan kita yang terdiri daripada pengerusi perhubungan, buat endorsmeent, bagi pada ahli, serah mandat pada ahli. Kalau ahli suka kepada cara begitu, mungkin itu satu jalan (untuk) Zahid dipilih semula.
“Itulah jalan keluar kepada kemelut sok sek, sok sek yang berbunyi sekarang ini. Itu semua akan selesai,” katanya dalam temubual dalam talian hari ini.
Mandat sedia ada pimpinan tertinggi parti akan berakhir Jun ini dan Zahid digesa tidak memberikan alasan pula untuk menangguhkan pemilihan kali ini, ujar Annuar lagi.
“Kalau cawangan-cawangan nak menangguhkan kepada tempoh tertentu, cadangan itu mesti datang dari MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan cadangan MKT menangguhkan (pemilihan) mesti mempunyai sebab yang diterima dan diluluskan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).
“Pada fikiran saya setakat ini kita tidak ada satu sebab pun untuk menangguhkan (pemilihan),” katanya lagi.