
Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sokongan daripada Barisan Nasional terhadap kerajaan.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghormati keputusan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Persekutuan berkaitan pembentukan Kabinet.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November lalu, juga mengingatkan Perdana Menteri kesepuluh itu supaya tidak memandang ringan keputusan UMNO menyertai kerajaan baharu itu.
Dalam satu kenyataan hari ini (1 Disember 2022) beliau berkata rakyat sekarang ini memberi tumpuan kepada pembentukan Kabinet baharu.
Bagaimanapun, katanya ada laporan mengatakan Anwar sedang menghadapi dilema susulan lobi daripada banyak pihak bagi mendapatkan jawatan dalam Jemaah Menteri.
“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas yang mencabar selepas ini.
“UMNO melalui keputusan MKT (Majlis Tertinggi) telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan ini. Ia keputusan parti yang wajar dihormati, bukan saja oleh ahlinya tetapi juga oleh DSAI (Anwar) yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.
“UMNO tidak harus dipandang enteng atau “to be taken for granted”. UMNO juga tidak harus diterima separuh separuh.
“Umpama semangkuk gulai,jangan kuah di ambil tapi isi nak dibuang,” katanya lagi.
Pada PRU-15 lalu, Pakatan Harapan menang 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional sebanyak 77 kerusi, termasuk empat dimenangi Bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GPS), BN (30) Gabungan Parti Sarawak (23); GPS (dua, tidak termasuk empat dimenangi Bersatu); Warisan (tiga); Bebas (dua) serta masing-masing satu bagi PBM dan KDM.
Perikatan Nasional dianggota Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.
Mengulas lanjut, Annuar berkata pemilihan wakil daripada UMNO untuk jawatan Kabinet sewajarnya mengikut hirarki parti dan dengan izin pemimpin.
Sebelum ini, Anwar diberi peringatan supaya tidak melakukan kesilapan dengan melantik Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Sesetengah pihak berpendapat, Zahid, yang berdepan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, mungkin akan mencemarkan imej reformasi yang cuba dibawa Anwar dalam pentadbiran kerajaan.