Angkat Najib PM, Zahid banyak masalah: UMNO Kubang Pasu

Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih layak daripada mana-mana pemimpin UMNO, termasuk presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara ini disuarakan Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar yang melihat Zahid serta calon-calon lain sekarang ini mempunyai banyak masalah untuk menjadi perdana menteri.

“Kita perlu seimbang. Kalau nak cakap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau pun lari juga waktu UMNO susah. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun ada banyak masalah juga.

“Walaupun Najib ada kes 1MDB, namun kes tersebut masih kabur. Jadi Najib ada kemampuan untuk jadi Perdana Menteri semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini yang disiarkan UtusanOnline.

Katanya, semua pihak patut mengetepikan kes mahkamah yang dihadapi oleh Najib sebaliknya melihat kebolehan dan kemampuan bekas perdana menteri itu menerajui negara.

“Kita ketepikan soal kes beliau di mahkamah, kemampuan Najib itu ada, pokoknya untuk menyelamatkan Melayu. Beliau tidak meninggalkan perjuangan (ketika UMNO jatuh). Persepsi (negatif) orang kerana ada pihak yang melontarkan tidak baik dan ada orang ikut,” katanya.