Pendirian pembangkang yang menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan awal pada tahun ini juga disifatkan aneh dan ajaib, kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata pembangkang yang kerap menuduh kerajaan ditadbir Perdana Menteri UMNO itu gagal tetapi apabila mahu diadakan PRU-15 dengan segera mereka pula menolaknya dengan keras.
“Kalau kerajaan hari ini dikatakan gagal dan sebagainya sepatutnya ambillah peluang untuk jatuhkan BN. Tetapi aneh dan ajaib.
“Di negara-negara lain semua parti pembangkang mahukan pilihan raya diadakan secepat mungkin agar mereka boleh diberikan peluang untuk menjadi kerajaan.
“Di sini terbalik pula. Kita pula yang dalam kerajaan mahu untuk memberikan legitimasi kepada kerajaan yang dibentuk sekarang ini, yang ada kaitan dengan keputusan ahli parlimen dan bukannya keputusan rakyat.
“Kita mahu kembalikan kepada rakyat untuk memberikan mandat baharu kepada kerajaan,” katanya dipetik semasa bual bicara di Facebook UMNO Online.
Tegasnya lagi, jika pembangkang menganggap kerajaan sedia ada mereka sepatutnya bersetuju tanpa berdolak-dalik tidak mahu PRU-15 diadakan segera.
“Jika kerajaan hari ini didakwa gagal, mereka sepatutnya setuju untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
“Kita konsisten sejak Langkah Sheraton. Kita mahukan pilihan raya dan itu yang kita mahukan bukannya sekarang sahaja.
“Keduanya kita pun berada dalam masa yang bersesuaian dan selalunya pilihan raya ini diadakan antara empat hingga empat tahun setengah sebelum habis tempoh dan kita berada dalam kedudukan itu sekarang maka bukan benda yang pelik mahupun ajaib untuk mengadakan pilihan raya empat tahun setengah selepas pilihan raya yang lalu,” katanya lagi.
Untuk rekod, pembangkang menolak PRU-15 awal atas alasan tidak mahu ia diadakan semasa musim banjir kerana ia akan menyusahkan rakyat selain mendesak isu-isu penting melibatkan kepentingan negara ditangani terlebih dahulu.
Isu inflasi yang mengakibatkan harga barang naik mendadak dan kejatuhan ringgit sehingga menjejaskan keadaan ekonomi negara antara perkara yang didesak pembangkang perlu ditangani segera.
UMNO berterusan dengan desakan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini juga dengan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu ‘redah banjir’ menunjukkan sikap sebenar parti itu yang mahu pilihan raya perlu diadakan dalam keadaan segera.