Anak Najib gesa PRU awal, pembangkang sukar bersatu dan UMNO berkelebihan

UMNO mempunyai kelebihan dan berpeluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat, kata Datuk Mohd Nizar Najib.

Anak Datuk Seri Najib Razak yang juga Ketua Pemuda Bahagian Pekan itu berkata, UMNO sekarang sudah lebih bersiap-sedia untuk menghadapi PRU-15 dan ia terbukti dengan kemenangan di Melaka dan Johor, sementara pembangkang kini sudah berpecah dan sukar untuk mereka bersatu sebagai sebuah gabungan yang mantap.

“Saya fikir, Insha-Allah kita ada peluang yang cerah sebab saya lihat kita sebagai satu parti ini sudah bersiap sedia dan sudah menghadapi PRN di Melaka dan Johor.

“Saya juga fikir bukan mudah untuk pembangkang menyatukan diri mereka sebab masih ada syak wasangka dan kecewa disebabkan episod Langkah Sheraton,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Mengambil kira faktor tersebut, UMNO perlu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 dijalankan kerana penting untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Jadi, dalam masa yang terdekat ini, sukar mereka bergabung, tapi bukan mustahil, sebab itu kita berada di tahap ada kelebihan ini, kita patut melaksanakan PRU secepat mungkin.

“Lagi cepat lagi bagus, tak payah tunggu lama-lama. Momentum semangat ada dengan kita, buat apa nak tunggu lama-lama kan?” katanya lagi.

Untuk rekod, Nizar bersama bapanya, Najib juga sedang berdepan tindakan mahkamah berhubung tunggakan cukai yang sedang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bapanya, Najib pula sudah disabitkan hukuman berhubung perbicaraan kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd dan beberapa puluhan pertuduhan yang masih sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya semalam menyentuh mengenai keperluan mengadakan PRU-15 dengan segera tetapi berkata perkara itu diserah kepada Ismail Sabri untuk memutuskannya.

Dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU), Zahid berkata parti bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju sendiri.

“Apabila mood di bawah. Dalam PRK (Pilihan Raya Kecil), dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ke arah pada kita. Nak tunggu apa lagi? (bubar Parlimen),” tegas Zahid.

Semasa persidangan sayap yang berlangsung semalam juga, para perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO juga menimbulkan desakan supaya PRU-15 disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR