‘Anak muda tidak mahu Zahid pimpin UMNO’

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anak muda mahukan Persiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat, supaya parti itu dapat dipulihkan segera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Puteri Bahagian Simpang Renggam, Suzana Banoo Shaikh Shafiullah berkata, rakyat mahu melihat kepemimpinan UMNO yang baharu untuk menerajui negara pada masa akan datang dengan lebih relevan.

“Menyokong agar Datuk Seri Zahid Hamidi menarik diri dengan cara terhormat daripada kepimpinan tertinggi UMNO ataupun membuat pemilihan UMNO dengan kadar segera supaya mendapat mandat penuh ahli UMNO untuk kepimpinan yang baru.

“Rakyat mahu melihat kepimpinan UMNO yang baru untuk mengetui kerajaan pada masa akan datang dengan lebih relevan… Inilah suara anak muda, kami mahukan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang yang tidak mempunyai kepentingan pribadi semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataannya menyusul selepas desakan sama dibuat Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya ahli parti itu bercakap benar mengenai luahan akar umbi dan rakyat berhubung calon Perdana Menteri daripada UMNO.

Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO, Nur Ain A Rahman pula mengingatkan bahawa UMNO sudah lemah dan sukar kembali kuat seperti dahulu.

“Kemudi parti disifatkan potrait seorang calon Perdana Menteri. Justeru, individu tersebut harus bersedia dan berjiwa besar demi kekuatan dan masa depan parti.

“Mahu atau tidak kita kena akui parti kita tak sekuat dahulu dan adalah sukar kembali kuat seperti dahulu. Rakyat menilai kemudi utama untuk menyokong perjuangan parti dan memilih parti pentadbir. Jiwa besar, pengorbanan besar demi sebuah masa depan perjuangan,” katanya.

POPULAR