
Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli hanya mahu berdebat dengan Syed Saddiq selepas PRN.
Hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) seterusnya menyasarkan 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang dilihat tidak disenangi akar umbi Anak Muda Keadilan (AMK) serta PKR.
Perkara ini ditegaskan Ketua AMK Adam Adli yang berpendapat kepimpinan PH perlu merujuk kepada beberapa isu penting terlebih dahulu sebelum membuat keputusan MUDA menyertai gabungan itu.
Paling ketara, katanya adalah pendapat dan sentimen dalam kalangan akar umbi.
“Rata-rata akar umbi dan pimpinan AMK serta Keadilan dilihat tidak senang dengan perkembangan ini, dan ianya adalah berasas.
“Tiada jalan mudah buat MUDA. Banyak prasyarat yang perlu dipertimbang sebelum keputusan dicapai. Banyak laluan yang perlu ditempuh selain Majlis Presiden PH.
“Sehingga kini, di peringkat AMK, KEADILAN, malah Majlis Presiden PH; tiada perbincangan khusus pernah diadakan berkait hasrat MUDA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Twitternya.
Adam Adli juga menegur MUDA supaya lebih bertertib membuat kenyataan dengan menyelesaikan terlebih dahulu soal kemasukan menjadi parti komponen sebelum bercakap mengenai kerusi pilihan raya.
Katanya pengalaman lampau seperti dalam dua pilihan raya negeri, soal jalinan yang pernah dibuat bersama parti-parti lain yang menolak kepimpinan PH, serta pertembungan demografi antara lainnya memberi kesan kepada penerimaan ramai dalam kalangan PKR khususnya terhadap MUDA.
“Dalam soal kritikan terbuka terhadap MUDA yang melibatkan sebahagian anggota dan pimpinan parti terutama dari AMK; ia adalah suara dan keresahan akar umbi yang tidak boleh didiamkan. Maka perlu ia direnung dan didengari. Demokrasi itu sentiasa hingar.
“Akhir sekali, setiap pertimbangan dan keputusan perlu dibuat dengan wajar dan rasional selain menghormati pandangan ramai. Keputusan kita perlulah sesuai keperluan, dan tidak bertentangan dengan apa yang sudah dimiliki dan dibina oleh gabungan hari ini,” katanya.
Selasa lalu, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen.
Perkara itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya MUDA yang berlangsung pada Isnin dan Selasa.