
Suasana sayu ketika penyampaian anugerah itu disambut laungan 'malu apa bossku' dan takbir.
Anak Datuk Seri Najib Razak berharap penyokong UMNO tidak akan melupakan perjuangan untuk pembebasan ayahnya yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Datuk Mohamad Nizar berkata sehingga kini masih ada penyokong parti yang melahirkan kerisauan mereka terhadap keadaan ayahnya di Penjara Kajang.
“Saya yakin UMNO masih memperjuangkan pembebasan ayanda. Tapi, selaku ahli keluarga saya tidak mahu momentum itu jadi perlahan atau dihentikan ataupun orang mudah lupa.
“Jadi, kita kena sentiasa memperingati bahawasanya beliau masih di dalam (penjara) dan saya harap usaha-usaha untuk membebaskan dan membela beliau akan terus diadakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Awal hari ini, Najib dianugerahkan Anugerah Tokoh Pemuda 2023 sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023, hari ini.
Mohammad Nizar menerima anugerah tersebut mewakili bapanya itu yang kemudiannya disambut dengan air mata apabila suasana penyampaian anugerah itu menyaksikan beliau bersama Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Mad Shah serta adiknya Datuk Mohd Nazifuddin saling berpelukan.
Najib kini sedang menjalani hukuan penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya termasuk denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.