AMK kecam Dr M khianat, gesa putus hubungan dengan Warisan

Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 berlangsung secara maya.

Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2020 yang berlangsung hari ini, menjadi medan mengecam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkan para perwakilan sebagai dalang utama disebalik kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan Pahang Ahmad Saifullah Razali berkata,  Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi ‘duri dalam daging’ semasa PH menjalinkan bekerjasama dengan veteran politik itu.

Menyifatkan Dr Mahathir sebagai pengkhianat, Ahmad Saifullah justeru menggesa supaya PKR menghentikan segera kerjasama dengan Mahathir serta menyenaraikan lima dalil mengapa usul itu perlu diterima pucuk pimpinan parti.

“Pertama ialah Tun Mahathir telah mengkhianati perjanjian dengan tidak menyerahkan kuasa pemerintahan kerajaan PH kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua, Tun Mahathir tidak memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi, ketiga beliau merupakan beban kepada mana mana parti yang akan beliau sertai.

“Keempat, Tun Mahathir mempunyai sejarah meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti komponen PH dan kelima Tun Mahathir tidak lagi mempunyai idealisme, wawasan dan visi yang jelas untuk terus menjadi pemimpin politik dalam negara,” katanya lapor Bernama.

Dalam pada itu, perwakilan Melaka Remy Lim Wee Han ketika sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata parti perlu menolak kerjasama dengan pemimpin berkenaan secara menyeluruh.

“Suka saya ingatkan kepada pucuk pimpinan parti agar berwaspada dengan Dr Mahathir. Dia juga baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi apa lagi yang mahu pimpinan Pakatan Harapan ingin harapkan daripada beliau? Dia sepatutnya sudah bersara tetapi apa motifnya untuk terus aktif… pastinya ada udang disebalik batu,” katanya.

Sementara itu, bagi sesi perbahasan usul yang diadakan selepas sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK, perwakilan Terengganu Yuslaini Azmi berkata AMK konsisten dengan pendirian yang tidak akan bersetuju sekiranya ada pihak lain yang ingin menamakan semula Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

“Kita tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan AMK sentiasa konsisten dalam menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.

Perkara berkenaan turut disahut perwakilan Sabah Wendy Agung Baruh yang mengingatkan pucuk pimpinan PKR dan PH agar terus memperkukuhkan kerjasama dan tidak mengemis bantuan pihak lain termasuk daripada Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Seramai 14 orang pembahas dalam sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK dan usul hari ini membabitkan soal kesihatan dan vaksinasi, kepimpinan, politik dan darurat, ekonomi anak muda serta pendidikan dalam kongres AMK itu yang bertemakan “Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi”.

Pakatan Harapan menemui titik nokhtah pemerintah selama 22 bulan selepas Dr Mahahthir mengumumkan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

POPULAR
Gagal angkat Anwar jadi PM, PKR mula sangsi kepada Ahli Parlimen sendiriJune 12, 2021
Jajaran Harapan UMNO, PH semakin kuat bunyinya? Kata PAS JohorJune 12, 2021
Tun M patut berehat, tak perlu jadi PM lagi: HamzahJune 12, 2021
Warganet teruja lihat Jaguar mewah dibawa ‘bakal PM’ ke Istana NegaraJune 9, 2021
Zahid beri bayangan jajaran baharu Perikatan 3.0 bersama PKR, DAPMay 11, 2021
Kalau nak jadi PM pun tunggu tiga bulan lagi: HamzahJune 11, 2021