
Poster yang dimuat naik MUDA Kedah menerima kritikan pemimpin PKR.
Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sejak kebelakangan ini khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan tidak menjaga adab dalam berkawan, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.
Sayap pemuda PKR itu kecewa dengan kritikan dan langkah yang dilakukan oleh MUDA yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap parti tersebut dan Pakatan Harapan (PH), kata seorang Exco AMK Johor, Omar Mokhtar A Manap.
“Namun begitu, ia tidak boleh kita ketepikan sebegitu rupa kerana kita ada satu agenda yang jauh lebih besar. Kita nak bantu rakyat Johor, nak buat reformasi dan nak mengetengahkan politik nilai. Ini yang perlu kita beri keutamaan.
“Betul, apa yang berlaku kepada MUDA itu terkesan. Tetapi saya melihat umpama ribut dalam cawan yang perlu kita uruskan dengan cara berkawan, bersahabat, berbincang dan berdiskusi,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Omar Mokhtar terdahulu diwawancara dalam program Sinar Live bertajuk ‘Anak Muda Kingmaker PRN Johor?’.
Pada Rabu, tular di media sosial menerusi hantaran Muda Kedah tentang poster bertulis ‘Hentikan Korupsi’ membabitkan empat parti iaitu Barisan Nasional (BN), PH, PKR dan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum itu, Syed Saddiq juga memohon maaf atas kekhilafan beliau merendahkan tugas dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di laman media sosialnya.
Turut menambah rasa luka dalam kalangan ahli PKR apabila PH melepaskan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA.
Dalam pada itu, Omar Mokhtar berpandangan adalah penting PH memainkan peranan dalam mencari keserasian dan kerjasama bersama Muda pada masa ini iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya kira satu ruang yang agak baik untuk kita teroka sekarang sebelum bergelut pada PRU-15 nanti.