
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sebanyak 54 calon bagi kerusi Parlimen diumumkan Parti Amanah hari ini untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Bagaimanapun, seramai empat penyandang kerusi Parlimen digugurkan daripada senarai tersebut, ia termasuk Hanipa Maidin (Sepang) yang sebelum ini dikatakan tidak akan bertanding pada PRU-15 kali ini atas faktor kesihatan.
Tiga lagi penyandang yang tidak dicalonkan semula adalah Mohd Anuar Tahir (Temerloh); Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat) dan Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin).
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kesemua calon yang dinamakan telah menandatangani watikah pencalonan di peringkat parti hari ini.
“Telah selesai dalam ikrar (peringkat parti) dan semuanya insya-ALLAH akan bertanding pada PRU15 mewakili Pakatan Harapan (PH).
“Kesemua calon yang mewakili peringkat Parlimen, watikah pencalonannya akan ditandatangani oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak,” katanya dipetik laporan Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu Mohamad memaklumkan, jumlah calon yang dinamakan parti itu bertambah berbanding 35 kerusi pada PRU-14.
Selain beliau yang kekal bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salehuddin Ayub juga mempertahankan kerusi Parlimen Pulai manakala Naib Presiden, Datuk Seri Mujahid Yusof akan bertanding di Parit Buntar.
Setiausaha Agung Amanah, Datuk Hatta Ramli kekal di Lumut manakala Pengarah Komunikasi parti, Khalid Abdul Samad diumumkan bertanding di Parlimen Titiwangsa.
Kerusi Parlimen Sepang akan ditandingi Raj Muni Aiman Athirah manakala Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda bertanding di Temerloh; Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin).
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dikekalkan sebagai calon PRU-15.
Mengenai pengguguran empat penyandang kerusi Parlimen daripada parti itu, Salahuddin menjelaskan, proses itu bagi memberi laluan kepada muka baharu.