
UMNO akan bekerjasama dengan DAP, PKR dan AMANAH menghadapi PRN di enam negeri tahun depan.
Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyokong idea pembentukan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN), yang dijadual diadakan dalam beberapa bulan akan datang.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi PH Kedah berharap pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat nasional segera mencapai persefahaman berhubung perkara itu bagi mengelak kedua-dua gabungan bertembung sesama sendiri di enam negeri.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya bersetuju dengan pandangan banyak pihak (tentang pakatan politik PH-BN) memandangkan kita sudah pun membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Adalah tidak bijak jika setiap parti komponen dalam PH dan BN memutuskan untuk pergi secara solo pada PRN. Sebarang pertembungan antara kedua-dua gabungan itu akan memberi isyarat yang salah dan boleh mencetuskan ketidakstabilan politik di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, perlu ada persefahaman yang kukuh antara PH dan BN di peringkat nasional,” katanya memetikmlaporan NST hari ini (3 Januari 2023).
Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng bahawa DAP dan BN akan mengambil bahagian dalam kerjasama di peringkat negeri bagi menghadapi PRN enam negeri.
“Perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan semasa mesyuarat PH, melibatkan Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tertinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.
“Sebarang perbincangan mengenai pilihan raya negeri dan sebarang bentuk kerjasama (antara PH dan BN), biarlah diumumkan selepas mesyuarat dan selepas keputusan bersama dibuat,” katanya semalam.
Mahfuz menambah buat masa ini PH Kedah masih menunggu arahan lanjut daripada kepimpinan nasional berhubung kemungkinan gabungan pilihan raya PH-BN.
“Buat masa ini kami belum diberitahu mengenai hala tuju pakatan yang mungkin berlaku tetapi secara peribadi saya mengadakan pertemuan santai dengan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk meneroka persefahaman bersama mengenai PRN yang akan datang,” katanya.
Penggal Dewan Undangan Negeri semasa bagi enam negeri berkenaan akan tamat pada Julai.
Kedua-dua, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sebelum ini menyatakan hasrat mereka supaya pilihan raya negeri diadakan serentak.