Amanah, DAP tidak boleh sekat kerjasama Anwar-Zahid: Abdullah Sani

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani.

Rundingan yang sedang berjalan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu diteruskan, malah DAP dan Amanah sekali pun tidak boleh menyekat usaha tersebut, kata Datuk Abdullah Sani.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata gabungan Presiden PKR dan Presiden UMNO adalah mantap yang mampu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa lagi pilihan kita ada untuk kembalikan mandat rakyat? Gabungan ini mantap dan kukuh (Anwar-Zahid). Saya percaya,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, rundingan kerjasama antara Anwar dan Zahid bukan satu isu besar kerana matlamat utama adalah untuk mendapatkan sokongan parti yang mahu bekerjasama, malah Bersatu juga sebelum ini bertanding atas tiket PKR.

“Sekarang masalahnya bukan ‘No Zahid’. Masalahnya siapa nak bersama kita dalam membentuk kerajaan? Jangan kita lupa gabungan dalam PH sesuatu ketika dulu termasuk Bersatu, kesemuanya bertanding atas tiket Keadilan,” katanya lagi.

Bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum nanti, Abdullah Sani berkata Amanah dan DAP perlu faham situasi dan rancangan yang sedang diatur oleh Anwar dalam bekerjasama dengan UMNO.

“Jadi, mereka (DAP dan Amanah) perlu faham tidak ada mana-mana sekatan pun yang boleh dibuat untuk mengembalikan mandat rakyat,” katanya.

Anwar hari ini juga dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang, Pakatan Harapan dan perkara tersebut dipersetujui oleh Amanah dan DAP dalam satu mesyuarat.

Baru-baru ini, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.

Beberapa pemimpin UMNO sudah mendesak supaya Zahid meletak jawatan dan gesaan supaya pemilihan parti disegerakan juga kuat kedengaran di kalangan akar umbi UMNO.

POPULAR