
Dua selebriti, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap, Altimet, turut bertanding di PKR Cabang Ampang.
Penyanyi hip hop terkenal Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menang jawatan Ketua PKR Cabang Ampang dengan memperoleh 743 undi menewaskan pelakon dan pengarah Datuk Hans Isaac.
Kemenangan Altimet yang mula menyertai parti itu pada April tahun lalu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa
“Ya, keputusan adalah muktamad. Ia dimuat naik dalam laman web pemilihan PKR 2022 malam tadi,” katanya menurut laporan NST.
Menurut keputusan yang disiarkan di laman web, Altimet, 43, menang dengan hanya sembilan undian terhadap Hans, yang mendapat 734 undi.
Keputusan itu menutup pelbagai kontroversi dalam pemilihan semula bahagian yang berlangsung pada 29 Jun lalu termasuk dakwaan politik wang.
Pada pemilihan pertama bahagian itu, JPP mendapati pemenangnya Daing Muhammad Reduan Bachok didapati terlibat dalam pembelian undi oleh JPP.
Susulan pendedahan itu, keputusan dibuat untuk membatalkan pilihan raya asal.
Pada pemilihan semula itu, tiga lagi calon yang bertanding untuk jawatan tertinggi ialah Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai dan Abdul Latif Shaari.
Seorang lagi calon, Abdul Halim Mohamed Yusof, menarik diri daripada bertanding.