Ali Biju tarik diri sebagai calon, hormati perjanjian

Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian demi menghormati perjanjian Bersatu untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan keputusan menarik diri itu dalam satu kenyataan hari ini bagi mengelak hubungan antara Bersatu dengan GPS terjejas, serta menghormati perjanjian awal sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS. Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara Perikatan Nasional dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional dan GPS.

“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN N.39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya pengundi Krian agar memilih calon GPS dalam PRN Sarawak kali ini.

“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN N.39 Krian, DUN N.38 Kalaka, dan DUN N.40 Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen P.205 Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” katanya lagi.

Pada 6 Disember lalu, Ali hadir menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi DUN Krian.

Tindakannya itu sekali gus menunjukkan beliau mahu mempertahankan kerusi itu dan bertanding atas tiket bebas.

Susulan itu, ketua penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan berkata parti tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran.

Malah katanya ahli yang melanggar perlembagaan parti boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016

BERITA BERKAIT
POPULAR