
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil.
Penganalisis politik yakin lebih ramai akar umbi UMNO akan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkaitan usul tambahan Perhimpunan Agung (PAU) 2022 baru-baru ini, yang meluluskan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan Mei depan.
Malah, alasan pemimpin kanan UMNO yang menyokong usul itu – kononnya bagi mengelak perpecahan – ditolak, sebaliknya aduan kepada ROS itu sendiri bagi penganalisis boleh membawa kepada perpecahan dalam parti keramat Melayu itu.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil berpendapat usaha menghalang perpecahan parti dengan menafikan pertandingan seperti diputuskan PAU 2022 itu sendiri berpotensi mencetuskan kesan sebaliknya.
Laporan BH memetik beliau sebagai berkata hasrat supaya tidak berlaku perpecahan dengan tiadanya pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO – presiden dan timbalan presiden – kini mencetuskan impak yang berbeza.
Beliau juga menjangkakan akan ada lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan yang sama seperti dilakukan dua ahli yang sudah membuat aduan kepada ROS.
“Ini adalah perkara biasa, dalam situasi parti yang lemah sekarang, bukan lagi menjadi parti dominan yang ada kuasa besar dalam parti dan kerajaan, maka akan ada kelompok yang tidak puas hati, seterusnya akan berpakat membuat laporan ke atas kepemimpinan sedia ada.
“Ini bukan saja akan berlaku dalam UMNO, tetapi pernah terjadi kepada PKR, mahu pun DAP dan PAS. Malah, perpecahan dan keretakan ini akan jelas dan mudah berlaku ke atas sebuah parti yang dilihat dalam keadaan lemah dan tidak punya kuasa,” katanya menurut laporan itu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemelut pasca PAU 2022 yang menyaksikan tindakan terkini, dua ahli UMNO membuat aduan kepada ROS kerana tidak berpuas hati dengan keputusan perhimpunan itu supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Semalam Ahli UMNO dalam Bahagian Kuala Nerus, Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO dari Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, menghantar notis bantahan kepada ROS.
Notis bantahan itu dibuat kedua-dua mereka selepas beranggapan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.
Jamaei yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Politik UKM, menjangkakan unsur perpecahan akan jelas apabila berlaku pemecatan jawatan.
“Apabila mereka itu sama ada ahli bahagian dan cawangan, serta pemimpin berpengaruh dipecat maka ini semakin mempersulitkan parti untuk disatukan semula, kerana perpecahan ini banyak membawa kerosakan kepada parti.
“Untuk membaiki perpecahan akan memakan masa dan banyak korban lebih-lebih lagi ia akan memberi kesan kepada kredibiliti pemimpin yang mempunyai masa depan,” katanya.