Akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan Bersatu sehingga PRU15

Ketua Pemuda UMNO Tasek Gelugor, Ahmad Afiffudin Muhammad Said.

Ketua Pemuda UMNO Tasek Gelugor, Ahmad Afiffudin Muhammad Said membayangkan UMNO perlu terus bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini sahaja.

Ditemui ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di PWTC hari ini, beliau bagaimanapun, berkata hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) adalah kerjasama terbaik untuk rakyat dan negara.

“Itulah yang sebaik-baiknya kerana parti UMNO dan PAS adalah parti orang Melayu, parti orang Islam yang terbesar. Jadi sepatutnya jika bergabung dan elok, insya-Allah kita akan menang lebih dua pertiga kerusi,” katanya.

Mengenai desas-desus kerjasama UMNO dan PKR, beliau berkata, akar umbi parti itu masih jelas menolak kerjasama berkenaan.

“Akar umbi kami di Pulau Pinang masih kuat, kami buat kerja untuk bangsa, agama dan tanah air bukannya kepentingan masing-masing,” katanya.

Ahmad Afiffudin turut berkongsi ketidakstabilan UMNO selepas PRU 14 lalu hingga ada wakil mereka yang melompat parti.”Sebelum ini apabila kalah sahaja PRU, kita dah banyak terumbang-ambing. Ada yang tak stabil, ada yang tak kuat, tak relevan. Itu yang salah satunya sebab lompat parti.

“Bagi saya, yang lompat tu lompat lah, Kita yang setia seharusnya kekal sebab dalam perjuangan perlu ada prinsip,” katanya.

POPULAR