Akar umbi UMNO kecewa senarai calon BN, bakal boikot kempen

Pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) tidak disenangi akar umbi UMNO di Melaka dan memberi isyarat awal beberapa calon yang bertanding bakal diboikot dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding semua 28 kerusi, ia terdiri daripada 24 calon atau 86 peratus adalah calon muka baharu yang akan diletak bertanding.

Bagaimanapun, tidak semua senarai calon itu disambut dengan baik pemimpin akar umbi UMNO.

Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hassan antara yang terawal membuat kenyataan secara terbuka menolak senarai calon BN yang diumumkan kerana Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, BN memilih calon baharu Siti Faizah Abdul Azis yang diumumkan pagi ini.

“Kenapa calon baharu diletakkan di sini sedangkan beliau (Hasan) mempunyai rekod cemerlang kerana telah menjadikan Sungai Rambai sebuah daerah yang harmoni dengan pelbagai pembangunan dinikmati penduduk setempat.

“Masyarakat di sini sebenar kecewa apabila mendapat tahu nama Hasan tidak berada dalam senarai sebagai calon kerana mereka masih mengharapkan beliau bertanding mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

“Saya berharap pucuk pimpinan parti mengambil perhatian sikit kerana akar umbi sudah melahirkan keluh- kesah dan apa yang membimbangkan saya apabila keinginan untuk mencapai kejayaan, lain pula jadinya nanti,” kata Abdul Kalam dalam sidang media semalam.

Abdul Kalam menambah, keadaan serupa turut berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim apabila calon muka baharu yang diletak bukan anak jati menetap dikawasan tersebut.

Katanya, ramai pihak menghubunginya, menyatakan rasa kecewa apabila mendapat tahu calon bertanding bukan anak jati yang menetap di situ.

Nama Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira diumumkan bertanding di Rim menggantikan Datuk Ghazale Muhamad.

Di Bemban pula, katanya, dalam kalangan ketua cawangan dan ahli amat kecewa selepas calon MCA diumumkan bertanding di DUN berkenaan.

“Selepas BN tumbang, kita jadikan Bemban sebagai kubu kuat UMNO dengan gerak kerja telah diatur dan dipupuk selama dua tahun. Tba-tiba ia tidak menjadi kenyataan apabila kerusi ini diserahkan semula kepada MCA,” katanya lagi.

Dalam pengumuman calon hari ini, Mohamad mengumumkan 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC, serta memberi keyakinan mereka akan menang besar kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR