Akar umbi UMNO dalam dilema, kesetiaan atau masa depan parti

UMNO mendesak supaya pilihan raya diadakan dengan segera.

Kemelut dalaman UMNO yang melibatkan pimpinan atasan parti mengakibatkan akar umbi kini berada dalam dilema tersepit untuk memilih sama ada setia bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau memikirkan masa depan parti.

Agenda Daily menghubungi beberapa pimpinan akar umbi bagi menilai sikap dan pandangan mereka berhubung krisis yang melanda parti ketika ini, majoriti menyatakan mereka bimbang sekiranya kesetiaan kepada Zahid akan mengakibatkan kesan buruk dalam pilihan raya umum nanti jika ditolak rakyat.

Bagaimanapun, mereka juga enggan mengkhianati Presiden yang dianggap sebagai simbolik pemimpin nombor satu parti yang perlu dihormati walaupun terpalit dengan pelbagai kontroversi kebelakangan ini.

Seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang dihubungi memberitahu keadaan dihadapi ketika ini menguji kesetiaan mereka terhadap Presiden namun sedar akan risiko yang lebih teruk bakal dihadapi parti jika kemelut dalaman tidak ditangani secara berhemah.

“Ya, kami tahu mengenai audio yang tular dan kami juga terkejut dengan tindakan Presiden yang membuat pakatan senyap-senyap dibelakang dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata sumber kepada Agenda Daily.

Baru-baru ini satu klip audio perbualan pakatan sulit antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Zahid tular.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Sumber memberitahu mereka terpaksa berfikir banyak kali jika mahu melawan Zahid yang dianggap sebagai orang nombor satu dalam parti, bagaimanapun sekiranya dibiarkan tindak-tanduknya yang membelakangi parti ia pula akan memberikan implikasi buruk kepada parti.

“Nak lawan Presiden bukan satu perkara kecil, lihat yang berlaku semasa dahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin melawan Datuk Seri Najib Razak… mereka yang melawan dipecat dan akhirnya terpaksa mencari rumah baharu.

“Ini adalah realiti yang terpaksa kami hadapi tetapi jika jika dibiarkan berterusan sebegini, parti akan semakin lemah dan bagaimana kami hendak berdepan dengan rakyat selepas ini,” ujarnya lagi.

Senario ini juga dihadapi banyak pemimpin akar umbi UMNO yang lain, seorang Ketua Bahagian UMNO di Pahang yang dihubungi memberitahu tindakan Presiden berhubungan dengan Anwar adalah melampau kerana ia suatu perkara gila pernah berlaku yang dilakukan oleh Presiden UMNO.

“Ia kerja gila, tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO seorang Presiden boleh ada pakatan sulit dengan seorang pemimpin pembangkang… perkara sebegini menimbulkan persepsi buruk penyokong UMNO terhadap pucuk pimpinan,” katanya.

Jelas beliau, situasi sekarang amat sukar untuk dilalui UMNO apabila Presiden sendiri yang bersekongkol dengan pembangkang dan jika tidak diperjelaskan dengan segera ia akan menimbulkan banyak persepsi buruk kepada parti.

“Jika ini tidak diperjelaskan dan diterangkan dengan baik kepada akar umbi, saya khuatir kelak akar umbi akan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti… jika hilang kepercayaan macam mana akar umbi nak turun dan menerangkan kepada rakyat pula.

“Perkara ini sangat besar dan perlu ditangani dengan serius,” katanya lagi.

Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.

POPULAR