Akar umbi boleh bahas kerjasama PKR-UMNO semasa kongres

Jajaran politik baharu membabitkan PKR dan UMNO sedang dirancang.

Tiada sekatan kepada akar umbi parti untuk berbahas berhubung kerjasama dengan UMNO semasa Kongres Nasional PKR yang akan diadakan pada 5 dan 6 Jun depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau berkata pucuk pimpinan tidak akan menghalang akar umbi untuk membangkitkan isu berhubung klip audio antara Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular sebelum ini, malah mereka boleh menyuarakan pandangan secara terbuka tanpa ada sekatan.

“Kita buka kepada perbahasan daripada wakil negeri, perbahasan Wanita dan perbahasan Pemuda. Kita benar mereka berbahas topik seluas langit dan bumi.

“Dia (perwakilan) nak bahas apa dia bahaslah, lagipun ini kongres nasional tahunan, mereka patut diberi ruang seluasnya untuk diberi pandangan, teguran, setuju tak setuju, mereka boleh sebut apa sahaja termasuk (dakwaan mahu kerjasama dengan UMNO, penyebaran audio Ahmad Zahid dengan Anwar),” kata beliau yang dipetik semasa sidang media hari ini.

Saifuddin bagaimanapun tidak menolak berhubung jajaran politik baharu melibatkan PKR dan UMNO yang sedang dirancang kedua-dua parti itu.

Kongres kali ini akan dilaksanakan secara maya dan fizikal ekoran situasi Covid-19 yang semakin serius.

Saifuddin juga memberi jaminan bahawa insiden baling kerusi dan baling batu tidak akan berulang lagi pada kongres kali ini.

“Daripada laporan mesyuarat cabang, kami dapati di kalangan anggota parti sangat fokus kepada PRU, isu kekuatan parti, isu rakyat dan ia memberikan gambaran awal peranan Kongres Nasional tidak akan berlaku seperti yang telah terjadi sebelum ini,” katanya.

POPULAR