
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pertemuan empat mata dengan Pengerusi parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad akan diatur dalam masa terdekat ini, dedah Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata tidak ada masalah untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan isu kepentingan ummah, ia susulan laporan media semalam terdapat pertemuan sebelum ini antara Dr Mahathir dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ya dengan siapa saja kita sedia bekerjasama untuk menyatukan ummah. Pertemuan dengan Mahathir, insya-Allah akan diaturkan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia di Marang.
Hadi juga berkata PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang “tidak ekstrem dan liberal”.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata Muhyiddin sudah bertemu dengan Dr Mahathir kira-kira dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berhubung kemungkinan kerjasama untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Untuk rekod, Pejuang tewas semua kerusi yang ditandinginya semasa PRN Johor dan calonnya semua hilang deposit, satu keputusan yang teruk diperoleh.
Sementara itu, Perikatan Nasional yang terdiri daripada parti komponen Bersatu, PAS dan Gerakan berjaya memenangi tiga kerusi.
Selain itu, faktor peratusan pengundi dan parti pembangkang yang berpecah-belah antara punca menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka dan Johor lalu.