
Perikatan Nasional (PN) Selangor menawarkan air percuma kepada pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah sekiranya berjaya mentadbir negeri itu pada 12 Ogos ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma.
“Saya ingin berkongsi satu berita gembira kepada rakyat Selangor. PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma.
“Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah,” katanya ketika melancarkan Tawaran PN Selangor, malam ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Tawaran PN Selangor tersebut merupakan tawaran yang realistik dan boleh dilaksanakan.
“Berkat pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh bakal kepimpinan kerajaan negeri PN di Selangor, kami yakin bahawa semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.
“Insya-Allah, berkat sokongan padu seluruh rakyat di negeri Selangor, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, PN akan beroleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos nanti dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, prihatin dan stabil.
“Saya dapat merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor dan mudah-mudahan ia akan membentuk suatu gelombang sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada PN,” katanya.
PN menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung dalam tawaran bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.
Tawaran PN Selangor dikemukakan itu mencakupi semua sektor dari ekonomi, pertanian, sekolah, alam sekitar hingga infrastruktur bagi setiap lapis masyarakat termasuk pelajar, wanita, belia, OKU, p-hailing, peniaga, pengantin baharu dan banyak lagi.
PN memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor yang dijangka dapat membantu 65,000 keluarga memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.
Skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik turut bakal diwujudkan bagi golongan yang memerlukan serta penyediaan kuota khas bagi keluarga muda.
Khusus buat golongan wanita, PN akan membina 20 Selangor Child Care Centre setahun yang dilengkapi kemudahan moden dan tenaga pengajar profesional serta memperuntukkan dana khas RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja.
Malah bantuan yuran asuhan kanak-kanak turut ditawarkan sebanyak RM150 sebulan untuk 50,000 kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan serta bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor melalui inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS).
Selain itu, PN turut akan menyalurkan Dana Bantuan PIBG RM5,000 setahun kepada semua sekolah kerajaan di negeri Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T).
Sebagai tanda pengiktirafan belia yang terlibat dalam industri p-hailing, PN juga akan memperkenalkan skim Selangor Riders untuk tujuan penyelenggaraan dan membaiki motosikal serta perlindungan insurans bernilai RM700 setahun.
Malah PN juga akan menjadikan Selangor sebagai hab tenaga kerja masa hadapan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi.
Sebagai langkah mengiktiraf peranan dan sumbangan sektor awam terhadap pembangunan negeri, PN menawarkan elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji kepada penjawat awam di Selangor malah elaun tiga bulan gaji juga dipertimbangkan jika kedudukan kewangan mengizinkan.
Malah elaun bulanan kepada penggerak masjid dan surau juga akan dinaikkan dengan imam RM1,700, bilal RM800, siak dan nazir RM600.