
Parti Pejuang Tanahair tidak akan bersama PH menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yakin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan kekal sebagai Presiden UMNO sama ada jawatan itu dipertandingkan atau tidak, kerana kerusi Timbalan Perdana Menteri adalah satu kedudukan yang kukuh.
Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir percaya sekiranya kedudukan Zahid sebagai presiden parti boleh dicabar dalam pemilihan akan datang, belum tentu pencabarnya mampu menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada masa sama beliau juga melihat langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Zahid sebagai timbalannya adalah sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu di dalam UMNO.
“Kalau pun dirasai bahawa mungkin UMNO akan berubah setelah melalui pemilihan parti yang akan menyaksikan presiden partinya bertukar kepada pihak yang tidak terpalit kes mahkamah, kita sudah lihat desakan demi desakan supaya Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dicabar jawatan presiden dan timbalan presiden.
“Lantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar, juga dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukan Zahid di dalam UMNO. Kalau pun kedudukannya sebagai Presiden boleh dicabar, belum tentu pencabarnya mampu menjatuhkannya,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Pejuang, hari ini (14 Januari 2023).
Menurut Mukhriz, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilihat akan membantu Zahid menguasai UMNO kerana parti itu tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar.
“Puluhan pertuduhan yang melibatkan Zahid adalah berkaitan salah guna kuasa. Sudah tentu Zahid dapat kumpul duit yang banyak daripada aktiviti-aktiviti seperti yang dituduh ke atas beliau.
“Wang itu jugalah yang digunakan untuk membeli sokongan UMNO. Yang sememangnya mengamalkan politik naungan. Hanya kalau UMNO buang jauh-jauh politik naungan ini barulah akan ada masa depan untuk mereka,” katanya.
Bekas Menteri Besar Kedah itu turut mempersoalkan adakah kes mahkamah Zahid akan digugurkan oleh Peguam Negara atas arahan Perdana Menteri, dan Datuk Seri Najib Razak pula akan diampuni dan dibebaskan.
Mengulas langkah Pejuang seterusnya, Mukhriz berkata Pejuang tidak mungkin menyertai Pakatan Harapan (PH) di dalam kerajaan yang dibentuk bersama BN bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
“Sekian lama kita berjuang menentang kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Kalau kita berprinsip maka tentunya kerjasama antara Pejuang dan PH ini akan menimbulkan masalah kerana kehadiran UMNO di dalam gabungan yang memerintah.” katanya.