
Ahli UMNO diseru berlapang dada dengan kehadiran pemimpin kerajaan perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir ahli UMNO yang kononnya mahu memboikot perhimpunan itu.
“Dalam dinamika politik baharu ini, ia memerlukan keterbukaan minda serta kelapangan dada dan hati untuk bersama. Mereka juga perlu memahami konsep parti demokrasi yang berlaku setelah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
“Ahli parti perlu berlapang dada dengan kehadiran Anwar, lebih-lebih lagi kita seangkatan dan perlu berdepan perang politik yang lebih besar, iaitu PRN di enam negeri tidak lama lagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kesemua presiden parti komponen kerajaan perpaduan termasuk PKR dan DAP akan menghadiri PAU 2023 yang bakal membuka tirai pada 7 hingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama presiden parti lain dalam kerajaan perpaduan pada PAU 2023 itu menunjukkan kesungguhan PH menghadapi PRN tidak lama lagi.
Baru-baru ini, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan tidak berminat menghadiri PAU dan tidak akan menghadiri sebarang aktiviti parti selagi diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jumaat lalu, Asyraf berkata UMNO sedia menjemput bekas ahli yang dipecat namun hanya perwakilan dibenarkan memasuki Dewan Merdeka WTC.