
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Datin Seri Rosmah Mansor berkata ramai ahli akar umbi UMNO yang mahu Datuk Seri Najib Razak dibebaskan segera daripada hukuman penjara ketika ini.
Isteri Najib itu berkata sokongan yang ditunjukkan kepada suaminya semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dalam menuntut beliau dibebaskan adalah manifestasi akar umbi yang menggesa supaya keadilan diberikan.
“Saya amat terharu dengan sokongan diberikan ahli-ahli UMNO yang datang ke PAU dan dapat merasai betapa mereka menghayati perjuangan suami saya serta berharap beliau dikeluarkan segera.
“Dalam hati mereka tahu suami saya tak dapat perbicaraan adil. Ia juga manifestasi di pihak mereka (ahli UMNO) mahukan Najib mendapat keadilan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang memperjuangkan keadilan di negara ini, bukan saja untuk Najib tetapi untuk semua orang,” katanya dipetik laporan BH.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada PAU 2023, mendesak supaya Najib diberi keadilan sewajarnya.
Desakan itu dibuat selepas celahan daripada anak Najib, Datuk Mohd Nizar dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu itu disambut laungan ‘bebaskan Bossku’.
Keadaan itu antara lain mengundang ramai perwakilan mengangkat poster memaparkan slogan ‘Solidariti untuk Najib Razak’, sebagai sokongan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.