
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berpuisi menyerang 'kembar siamnya' UMNO.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim sekali lagi mengingatkan ‘kembar siamnya’ UMNO supaya ‘diam’ sahaja menerima kritikan supaya parti keramat Melayu itu terus hidup di persada politik tanah air.
Dalam teguran terbaharu menerusi rangkap puisinya hari ini (20 Januari 2023), Hassan dipercayai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyerang balas pemimpin Pakatan Harapan (PH) sambil menyifatkan gabungan itu turut dijangkiti ‘virus’ yang belum mempunyai penawarnya.
Semalam, Ahmad Shabery menyifatkan gabungan PH turut dijangkiti ‘virus’ iaitu suka mengata antara rakan politik, yang belum mempunyai penawarnya.
“Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman.
“Virus begini belum ditemui vaksin. Semasa pembangkang siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin,” kata Ahmad Shabery.
Dalam bahasa kiasan yang difahami, Hassan yang juga seorang peguam turut mengingatkan UMNO supaya tidak cuba menghuru-harakan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH kerana bimbang ia akan tumbang.
“Demi Daulah Ini… Atas nama kestabilan… Jangan digoncang perahu ini… Jangan, jangan… Nanti karam semua,” tulis Hassan di Facebook beliau.
Merujuk kepada kenyataan Ahmad Shabery yang turut mengibaratkan hubungan PH-UMNO seperti jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya jambatan konkrit, beliau berkata: “Ingat ya, Jambatan kamu… Bukan Jambatan konkrit… Ingat itu”
Hassan berpendapat pemimpin UMNO sewajarnya tidak bertindak sebarangan, terutama apabila melibatkan perkara berkaitan rasuah, supaya ‘jambatan’ yang dibina itu boleh bertahan lama.
“Jangan bising-bising lagi… Nanti karam perahu ini… Nanti tercabut skrew-skrew,” tulis Hassan.
Berikut adalah puisi yang berupa sindiran dan teguran yang ditulis Hassan dipercayai merujuk kepada Barisan Nasional dan UMNO:
Demi Daulah Ini
Atas nama kestabilan
Jangan digoncang perahu ini
Jangan, jangan
Nanti karam semua
Ingat ya,
Jambatan kamu
Bukan Jambatan konkrit
Ingat itu
Lalu, diam semua kamu
Sebaiknya
Jangan lagi
Jangan lagi bicara hal-hal rasuah
Jangan, jangan
Jangan diungkit-ungkit
Ketirisan itu
Kebocoran ini
Jangan
Jangan disebut lagi
Kes itu
Kes ini
Perkataan-perkataan kluster dan Mahkamah
Semua itu, sensitif waktu kini
Membisulah kamu sebaiknya Saudara
Jangan
Jangan bising-bising lagi
Nanti karam perahu ini
Nanti tercabut skrew-skrew
Jambatan bailey ini
Ini petua dariku Saudara
Membisu itu baik di kala ini
Ya, membisu itu Pilihan terbaik kini
Jangan
Jangan kamu terlalu idealis Saudara
Pragmatislah sedikit
Opoligislah sedikit
Kita kan terpaksa segalanya
Hidup lemas dalam dilemma ini?
Ya, terimalah hakikat Saudara
Timbulnya kamu
Tenggelamnya aku
Kan kita kembar siam?
Jangan
Jangan digoncang perahu ini
Nanti kita semua karam
Lemas dan tenggelam
Option kita Saudara
Hanya Satu atau Dua saja
Pekakkan telingamu
Buat-buat tidak dengar
Mereka memunggah harta Negara
Jangan,
Jangan Saudara
Jangan buka matamu
Buat-buat buta Saudara
Pura-puralah tak kelihatan
Mereka melarikan kekayaan ke Virgin Island
Nah, ini saja Pilihan yang ada
Untuk Selamat bernyawa
Ayuh, matikan segera nuranimu
Kita korbankan segalanya
Demi kestabilan Daulah Ini.