Ahli Parlimen jangan menentukan jalan sendiri, patuh pendirian parti: Mohamad

Datuk Seri Mohamad Hasan memberi peringatan kepada Ahli Parlimen (MP) UMNO itu supaya tidak menentukan jalan sendiri, sebaliknya perlu mematuhi pendirian parti tersebut tidak kira apa jua keadaan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata MP yang mewakili parti tersebut tidak sepatutnya bercanggah pendirian yang diputuskan parti tersebut jika mahu kembali menjadi kuat dan dominan menguasai kerajaan.

“Para perwakilan yang dikasihi. Saya mesti ingatkan, saya perlu nyatakan, Ahli Parlimen kita pula janganlah menentukan jalan sendiri.

“Janganlah bercanggah nyata dengan pendirian kepimpinan parti. Sesungguhnya sebagai parti yang hendak kembali kuat, UMNO tidak akan membenarkan sesiapa juga melupakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang mewakili UMNO.

“Bukan mewakili kelompok tertentu dan pemimpin tertentu,” katanya semasa merasmikan persidangan sayap UMNO di PWTC, malam ini.

Untuk rekod, MP UMNO sebelum ini berpecah kepada dua kumpulan semasa kemelut politik tahun lalu dan menyaksikan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat naik menjadi Perdana Menteri (PM).

Buat pertama kali dalam sejarah UMNO seorang Presiden tidak menjadi PM, ia memandangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sedang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah.

Satu kumpulan yang dikepalai Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, sementara satu kumpulan cenderung bersama PN yang tidak menyokong tindakan “Kluster Mahkamah” menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, Mohamad juga menolak budaya mencari talian hayat mesti dibuang dan parti itu hendaklah berhenti memberi nyawa pada orang lain.

Beliau menegaskan jangan sesekali meminta-minta nyawa daripada orang lain dan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah perlu dihentikan.

“Apatah lagi bergantung dengan PAS, Bersatu atau Pakatan Harapan (PH) sebagai talian hayat dan nyawa simpanan,” katanya lagi.

Mohamad juga memberi kata dua kepada parti yang sebelum ini bermain banyak kolam dan pada masa sama menjalin kerjasama dengan UMNO.

“Kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan dari semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah ‘tidak pada yang curang dan hanya pada yang setia’,” katanya.

Kenyataan itu Mohamad dipercayai merujuk kepada PAS yang menentang UMNO semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini atas tiket gabungan bersama PN.

BERITA BERKAIT
POPULAR