
Ahli Parlimen DAP, Steven Sim.
Ahli Parlimen DAP, Steven Sim akan mengarahkan peguamnya supaya menyaman pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff ekoran tohmahan berhubung sumbangan bantuan yang diberikannya yang tular baru-baru ini.
Sim berkata tindakan pensyarah kontroversi itu mencabar kesabarannya apabila tidak berhenti meneruskan fitnah dan serangan tidak berasas terhadap dirinya hanya kerana mahu membantu mereka yang berdepan kesusahan hidup.
“Saya sebenarnya amat terkesan dengan fitnah dan tomahan Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap diri saya. Namun saya tetap bersabar sebab saya menghormati bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia buat umat Islam. Walaupun diminta orang ramai untuk mengambil tindakan, saya tidak buat apa-apa.
“Namun, beliau pula tidak berhenti-henti membuat tuduhan yang tidak berasas. Tuduhan-tuduhan tersebut bukan sahaja merosakkan nama saya sebagai seorang Ahli Parlimen, malah lebih bahaya lagi, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat kita.
“Beliau dengan tanpa rasa kesal juga mencabar saya mengambil tindakan saman terhadap diri beliau,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Kamarul Zaman selepas tular sumbangan dilakukan Sim menasihati orang Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada “mubaligh Kristian”.
Sim sebelum ini mendapat perhatian dalam media sosial susulan tindakannya membantu sekeluarga yang dihalau keluar rumah dan juga jembantu seorang pemuda dengan menghadiahkan sebuah motosikal.
Sementara itu tegas Sim, demi kemaslahatan masyarakat Malaysia tindakan undang-undang terhadap pensyarah itu akan diambilnya.
‘Justeru, demi kemaslahatan masyarakat Malaysia dan sebagai teladan kepada semua agar menjaga keharmonian kaum di negara ini, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pihak lain yang terlibat,” katanya lagi.