Ahli MT UMNO pulang sebelum jam 8 malam, Zahid mesyuarat dengan siapa?

Kenderaan yang membawa dua ahli MT, Datuk Razlan Rafii dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki meninggalkan ibu pejabat parti.

Dua ahli Majlis Tertinggi UMNO dilihat meninggalkan ibu pejabat parti di Menara Dato Onn sebelum jam 8 malam tadi, ia selepas spekulasi mengatakan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyambung mesyuarat malam ini.

Wartawan Agenda Daily di lokasi memberitahu dua ahli MT tersebut, Datuk Razlan Rafii dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki meninggalkan ibu pejabat parti dengan menaiki kenderaan masing-masing bersama pemandu mereka.

Untuk rekod, Kuala Lumpur kini sedang dalam tempoh Fasa 1 perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam Pelan Pemulihan Negara yang dihadkan sebarang aktiviti setakat jam 8 malam sahaja dan mana-mana individu boleh dikenakan kompaun sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) tersebut.

Dalam pada itu, tidak kelihatan ahli-ahli MT lain dan di ruang parkir bangunan tersebut juga hanya tinggal beberapa kenderaan, tidak pasti pemiliknya.

Bagaimanapun, beberapa wartawan juga dilihat masih berada di ibu pejabat UMNO sedang membuat liputan ekoran maklumat awal yang mengatakan satu mesyuarat akan diadakan malam ini.

Terdahulu, awal hari ini Agenda Daily mendedahkan beberapa ahli MT UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berada di ibu pejabat UMNO, PWTC yang difahamkan sedang berbincang untuk membuat pengumuman keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam ini, ia selepas berakhir tempoh 14 hari diberikan Zahid hari ini.

Wartawan Agenda Daily di lokasi memberitahu, dua ahli MT UMNO dilihat memasuki bangunan UMNO tersebut, antaranya Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kemudiaan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak juga tiba dengan sebuah kereta berwarna putih yang membawanya masuk ke ruangan parkir dalam bangunan.

Menurut sumber Agenda Daily, difahamkan Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional (BN) menolak cadangan yang dikemukakan oleh Zahid dan Najib supaya keluar daripada kerajaan PN semasa pertemuan di ibu pejabat UMNO tersebut.

Beberapa Ahli Parlimen UMNO dipanggil Zahid dan Najib untuk hadir ke PWTC, sumber memberitahu salah seorang MP UMNO yang hadir semasa pertemuan tadi adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memberitahu, cadangan tersebut ditolak MP UMNO dan BN atas alasan mahu menumpukan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dihadapi negara dan ia bukan masa yang sesuai untuk terus bermain politik pada ketika negara sedang berdepan cabaran yang lebih besar.

“MP UMNO dan BN menyifatkan langkah untuk tarik sokongan dan keluar daripada kerajaan PN ketika ini tidak sesuai… kini bukan masanya untuk berpolitik kerana masalah yang dihadapi negara lebih besar,” kata sumber kepada Agenda Daily.

Sementara itu, susulan cadangan tersebut ditolak, spekulasi mengatakan bakal berlaku satu pengumuman besar kononnya MP UMNO dan BN akan membuat keputusan keluar daripada kerajaan PN malam ini tidak akan berlaku.

POPULAR